AM

BANJIR: JUMLAH MANGSA DI JOHOR DAN SARAWAK BERTAMBAH, SABAH SEMAKIN BAIK

21/03/2025 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sarawak meningkat setakat 4 petang ini, manakala di Sabah semakin baik.

Di JOHOR, jumlah mangsa meningkat kepada 11,776 orang daripada 3,544 keluarga berbanding 10,763 daripada 3,018 keluarga pagi tadi dan berlindung di 97 PPS di lima daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,384, diikuti Kluang (2,669), Pontian (1,791), Kota Tinggi (1,671) dan Kulai (1,261).

“Terdapat lima sungai dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu stesen Sungai Lenik di Ladang Chaah dengan bacaan 7.04 meter (m), Batu Pahat; Sungai Kahang di Kampung Contoh (15.92m), Kluang; Sungai Siam di Kampung Sungai Siam (20.94m), Kulai; Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai (3.09m), Pontian dan Sungai Paya Dato di Mersing (2.07m)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua jalan di Kota Tinggi iaitu Jalan Lukut Cina (Taman Aman) dan Jalan Mawai Lama (sebelum Rumah Burung) serta Jalan Jabi Bukit Tempurung (Jalan Negeri), Segamat ditutup kepada semua kenderaan susulan dinaiki air.

Di SARAWAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 435 orang petang ini berbanding 274 pagi tadi dan ditempatkan di lima PPS iaitu Balai Raya Song, Asrama Belia Kapit, Dewan Suarah Kapit, Dewan Kompleks Sukan Kanowit dan Dewan Komuniti Sibu Jaya.

Di SABAH, jumlah mangsa yang dipindahkan turun mendadak kepada 344 orang daripada 107 keluarga petang ini berbanding 1,248 orang daripada 396 keluarga pagi tadi susulan penutupan tiga PPS di daerah Kota Marudu yang telah pulih daripada banjir.

Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di sembilan PPS di Keningau, Sipitang, Sandakan, Beluran, Paitan, Matunggong dan Pitas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan