AM

BAZAR PERAYAAN LAIN DI KL AKAN GUNA KONSEP PENGURUSAN BAZAR RAMADAN & AIDILFITRI

21/03/2025 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah hari ini bersetuju untuk memperluaskan konsep pengurusan Bazar Ramadan dan Aidilfitri kepada bazar perayaan lain di Kuala Lumpur, termasuk Bazar Deepavali dan Bazar Tahun Baharu Cina akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan, yang pertama kali diadakan tahun ini, dengan keanggotaan terdiri daripada semua ahli Parlimen Kuala Lumpur atau wakil mereka.

“Ini selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tata kelola, memastikan ketelusan, serta menjamin keadilan buat semua peniaga dan warga kota.

“Penambahbaikan demi penambahbaikan akan terus dilaksanakan di ibu kota ini bagi memastikan ia terus berdaya huni untuk semua,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Dr Zaliha, antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah kejayaan pengurusan Bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, yang kini diurus secara terus, telus dan berintegriti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, dalam program berasingan, Dr Zaliha ketika berucap pada program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 berkata DBKL menerima sumbangan dana RM4.8 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu menampung kos program MySchoolBus@Wilayah, program di bawah Ilmu@PUJI.

Beliau menjelaskan sumbangan dana itu akan menampung keperluan 4,000 murid asnaf beragama Islam, yang merangkumi kira-kira 51 peratus daripada keseluruhan jumlah peserta.

“Pada tahun ini, kita mempunyai 7,800 murid dalam kategori memerlukan yang menetap di 140 kawasan perumahan awam, program perumahan rakyat, dan perumahan swasta kos rendah yang telah berdaftar di bawah program MySchoolBus@Wilayah," katanya.

Selain itu, Dr Zaliha berkata sebanyak RM1.1 juta telah diperuntukkan untuk sumbangan Nur Ramadan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan tahun ini, yang merupakan dana sumbangan zakat daripada MAIWP.

"Daripada jumlah itu, RM300,000 diagihkan kepada 3,300 asnaf dan fakir miskin dari 11 Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," ujarnya.

Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan diadakan bagi menyantuni golongan kurang berkemampuan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI Kesejahteraan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan