EKONOMI

PEMBANGUNAN LABUAN WATERFRONT RANCAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

21/03/2025 02:59 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 21 Mac (Bernama) -- Cadangan pembangunan Fasa 1 Waterfront Labuan dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memberi manfaat besar kepada penduduk pulau ini, kata Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS),  Profesor Madya Dr Romzi Ationg.

Beliau berkata projek bernilai RM38 juta yang terletak di Victoria Harbour Beach, iaitu tapak bekas pasar basah di pusat bandar Labuan, berpotensi menjana aktiviti ekonomi bagi usahawan tempatan serta memperkenalkan produk pelancongan baharu.

"Pembangunan ini akan meningkatkan sektor pelancongan dan membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan kecil serta penyedia perkhidmatan," katanya sambil menambah bahawa projek sedemikian penting untuk meletakkan Labuan sebagai hab utama pelancongan dan perniagaan di rantau ini.

Pelaksanaan projek ini turut menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengabaikan isu infrastruktur dan keterhubungan di Labuan.

"Kerajaan, melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor  bagi mempercepatkan penyambungan semula perkhidmatan feri, yang kekal menjadi keutamaan penduduk," katanya.

Pada 15 Mac lepas, Zaliha berkata Labuan berada di ambang transformasi besar dengan cadangan pembangunan waterfront ini, yang bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya tarikan pelancongan.

Beliau turut melawat tapak projek dan menerima taklimat daripada Jabatan Kawalan, Perancangan dan Bangunan Labuan.

Pembangunan yang dicadangkan ini akan merangkumi ruang rekreasi, pengalaman gastronomi, venue acara awam, bazar makanan, aktiviti sukan air, pelayaran persiaran, pencahayaan estetik, perkhidmatan teksi air dan kemudahan parkir.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk merealisasikan visi Chase (Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam) di bawah Rancangan Tempatan Labuan 2040, yang selari dengan Pelan Induk Pembangunan Labuan 2030.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan