KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Seramai 25 kanak-kanak dan remaja dari Pusat Jagaan Al-Fakeh, Sabak Bernam hari ini disantuni dalam Program Sepatu Raya yang merupakan program tradisi anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) sempena Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata program itu telah dianjurkan selama 14 tahun sebagai usaha agensi berita itu meraikan serta membawa semangat dan suasana hari raya lebih dekat kepada anak yatim dan asnaf.
“Saya juga berharap keberkatan bulan Ramadan ini membantu kita (Bernama) dan Benita untuk meraih banyak pahala,” katanya ketika ditemui pada program itu di kedai kasut Bata, Pusat Beli-Belah Ampang Point, di sini, hari ini.
Turut hadir menyantuni dan membantu 25 penghuni pusat jagaan itu membuat pilihan kasut baharu sempena Aidilfitri ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Azlina Aziz.
Nur-ul Afida berkata program itu yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Bernama berjaya memberi manfaat kepada lebih 600 anak yatim serta asnaf berusia dua hingga 17 tahun, sejak ia dianjurkan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang program Sepatu Raya ini, termasuk petugas Bernama dan anggota Benita. Terima kasih banyak-banyak kerana bawa keceriaan dan kegembiraan kepada anak yatim dan asnaf ini,” katanya.
Sementara itu Ketua Pemasaran Bata Malaysia Iman Zulkifli berkata pihaknya berbangga kerana dapat membawakan ‘Private Shopping Experience’ kepada anak-anak di Pusat Jagaan Al-Fakeh itu untuk memilih kasut raya tahun ini.
“Kita (Bata) ada banyak variasi dan rekaan untuk kanak-kanak ini, jadi ini merupakan satu peluang yang terbaik untuk mereka rasa kemeriahan raya dengan kasut ini,” katanya.
Penghuni pusat jagaan itu Muhammad Alif Haikal Abdullah, 14, menzahirkan rasa gembira diraikan sedemikian rupa dan diberi peluang memilih sendiri kasut untuk dipakai ketika hari pertama Aidilfitri nanti.
Rakannya Nur Najila Qaisara Annur, 11, turut berkongsi perasaan sama dan tidak sabar menggayakan kasut baharu di samping baju rayanya.
-- BERNAMA