JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM TAHAN SEORANG LAGI EJEN TERIMA RASUAH PERCEPAT PEMERIKSAAN KENDERAAN

22/03/2025 07:45 PM

PUTRAJAYA, 22 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi ejen di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan selepas dipercayai menerima rasuah bagi mendapatkan nombor giliran bagi mempercepat proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan sah.

Menurut sumber, perintah reman empat hari dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Assayidatun Najwa Muhammad Nasution terhadap lelaki berumur lingkungan 30-an itu selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Beliau memaklumkan suspek dipercayai menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi proses pemeriksaan kenderaan di pusat terbabit. 

"Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan operasi yang dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) semalam.

"Ia membabitkan siasatan terhadap beberapa individu yang dipercayai terlibat sindiket ejen bagi mempercepat proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah," katanya sambil menambah lelaki itu ditahan kira-kira 4 petang ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam.

Pengarah SPRM Putrajaya Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Semalam media melaporkan Bahagian Penguatkuasa JPJ mendapati beberapa individu telah menyalahgunakan sistem tempahan pemeriksaan Puspakom dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan secara rawak.

Modus operandi mereka adalah menawarkan tarikh-tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan sebelum membuat penjadualan semula tarikh untuk membolehkan permohonan baharu dibuat ke dalam sistem.

 

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan