KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) hari ini menyalurkan sumbangan kit bantuan bencana kepada 259 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air.
Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh memaklumkan sumbangan itu disampaikan kepada 155 keluarga dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai, dan 104 keluarga dari DUN Bukit Batu.
“YSIJ dari semasa ke semasa menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir yang kini ditempatkan di beberapa PPS dan sumbangan ini diharap memberikan suasana yang kondusif di pusat penempatan tersebut,” kata Avinderjit dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut hantaran itu, serahan sumbangan itu yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kulai Mohd Fadzli Mohd Zaid, berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Senai, Johor.
-- BERNAMA