PUTRAJAYA, 22 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan telur ayam di Malaysia kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan domestik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerjasama erat antara KPKM dan pengeluar telur tempatan memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras yang stabil dan memuaskan.
Bagi menjamin kestabilan bekalan, KPKM sentiasa melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir.
“Langkah penguatkuasaan juga turut diperkukuh dengan kerjasama strategik bersama agensi dan kementerian berkaitan bagi memantau sebarang aktiviti pengeksportan bekalan makanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kekeliruan susulan beberapa laporan media mengenai kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara.
Mohamad berkata kerajaan melalui KPKM, komited memastikan keterjaminan makanan negara menerusi dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan.
“Justeru itu, rakyat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi KPKM.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan mencukupi,” katanya.
-- BERNAMA