KUALA NERUS, 23 Mac (Bernama) -- Polis mengesahkan penemuan objek besi berbentuk seumpama torpedo di Pantai Seberang Takir, di sini bukan bom sebenar.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 7.30 pagi tadi yang memaklumkan penemuan objek berbentuk seakan peluru berpandu sepanjang 2.7 meter.
Beliau berkata pemeriksaan oleh unit pemusnah bom di lokasi mendapati objek seberat 70 kilogram (kg) berbentuk torpedo yang mempunyai banyak pendawaian itu bukanlah bom seperti disangka, dan hasil ujian juga mendapati objek itu bebas daripada bahan radiasi berbahaya.
"Sebaliknya ia adalah alat kajian marin yang dianggar bernilai RM1 juta," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Azli berkata polis sedang mengesan pemilik objek tersebut yang dipercayai dihanyutkan ombak Monsun Timur Laut (MTL).
"Kita sedang mengesan pemilik objek berkenaan. Tiada tanda ia milik syarikat...kita percaya ia milik sebuah universiti tempatan," katanya.
-- BERNAMA