AM

LEBIH 25,000 HEKTAR TANAMAN PADI SELIAAN KADA JANGKA DITUAI HINGGA JUN DEPAN

22/03/2025 10:39 PM

KOTA BHARU, 22 Mac (Bernama) -- Lebih 25,000 hektar atau 93 peratus keluasan tanaman padi di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka dapat dituai sehingga Jun ini berikutan tiada kemarau serius berlaku di Kelantan ketika peralihan Monsun Timur Laut.

Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad, berkata setakat ini sejumlah 4,574 hektar padi telah dituai dengan hasil yang memberangsangkan.

"Berikutan cuaca yang agak baik, kita dapati hasil tuaian setakat ini sangat membanggakan walaupun belum mencapai produktiviti dan hasil seperti yang kita sasarkan," katanya kepada pemberita pada Program Iftar Perdana Pengerusi bersama Warga KADA dan Pengamal Media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya sudah dua musim petani di kawasan seliaan KADA berdepan kerugian akibat kemarau dan banjir, namun begitu pada tahun pihaknya telah melakukan pelbagai persiapan untuk menghadapi musim kemarau.

"Kemarau yang dijangka berlaku pada Februari dan Mac tidak berlaku tahun ini. Alhamdulillah, ini memberi peluang kepada petani untuk meraih hasil tanaman padi bagi musim ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan kerja-kerja pengukuhan struktur sheet pile di Pam Kemubu akan dilaksanakan sebelum Jun ini dengan peruntukan kira-kira RM5 juta bagi tujuan memastikan tanaman padi untuk musim depan dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Kerja-kerja pembaikian tersebut dijangka mengekalkan paras air pada ketinggian 3.5 meter, sekali gus membantu menyalurkan bekalan air ke kawasan sawah padi di bawah seliaan KADA.

"Pengukuhan struktur sheet pile ini adalah langkah darurat yang perlu diambil memandangkan ia mungkin roboh jika tidak dibaiki segera," katanya.

Katanya kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada KADA untuk pembinaan sheet pile yang baharu dan pihaknya kini dalam proses menyiapkan reka bentuk penghadang tersebut untuk dibentangkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan