JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LELAKI TEMPATAN DISYAKI TERLIBAT KES UGUTAN DI FACEBOOK

23/03/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menghantar mesej berbentuk ugutan kepada seorang individu menerusi pesanan di Facebook, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata ia susulan laporan polis dibuat oleh individu berkenaan dua hari lepas, yang mengadu bahawa dia menerima ugutan bunuh menerusi laman sosial berkenaan.

“Pemilik akaun (suspek) telah menghantar satu pesanan suara dengan kata-kata cacian dan ugutan bunuh kepadanya sehingga menimbulkan ketakutan ke atas keselamatan diri pengadu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek ditahan kira-kira 1.30 petang semalam di pekarangan Balai Polis Damansara oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya dan anggota balai berkenaan. 

Shahrulnizam berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan oleh suspek untuk menghantar mesej tersebut sebelum membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melakukan ugutan jenayah dan menakutkan secara jenayah dengan menggunakan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu dengan menghubungi Balai Polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat Insp Muhamad Shahiren Ibrahim di talian 019-569 3864.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan