DUNIA

PERINTAH PEMINDAHAN ISRAEL KINI MELIPUTI 14 PERATUS GAZA – PBB

25/03/2025 10:38 PM

HAMILTON (Kanada), 25 Mac (Bernama-Anadolu) -- Perintah pemindahan yang dikeluarkan Israel kini meliputi kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Arahan terbaharu ini dikeluarkan di tengah-tengah gelombang serangan udara yang semakin ganas, mengorbankan ratusan nyawa sejak beberapa hari lalu. 

"Semalam, pihak berkuasa Israel mengeluarkan satu lagi arahan pemindahan di Rafah, meliputi kira-kira dua peratus daripada kawasan itu dan menjejaskan lima kejiranan.

"Dengan arahan terbaharu ini, kawasan yang diarahkan untuk pemindahan pada minggu lalu, kini meliputi sekitar 14 peratus daripada Gaza, termasuk zon larangan di sepanjang sempadan dan koridor Netzarim," kata Jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada wartawan. 

Memetik laporan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Dujarric berkata sekurang-kurangnya 124,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, dengan ramai yang terpaksa berpindah ke kawasan Mawasi dengan berjalan kaki. 

"Sebilangan besar penduduk dilaporkan mencari perlindungan di hospital," katanya. 

Situasi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing. 

"Kira-kira 90 peratus daripada penduduk yang ditemu bual berkata mereka tidak mempunyai akses mencukupi kepada air bersih, malah ada yang terpaksa bertahan selama beberapa hari tanpa dapat membasuh tangan," katanya. 

Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada 18 Mac, mengorbankan sekurang-kurangnya 730 orang dan mencederakan hampir 1,200 yang lain, menamatkan gencatan senjata serta perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa sejak Januari lalu. 

Sejak Oktober 2023, lebih 50,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan ketenteraan Israel yang berterusan, manakala lebih 113,200 lagi dilaporkan cedera. 

-- BERNAMA-ANADOLU



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan