AM

PM ANWAR PRIHATIN, RUMAH PUSAKA KELUARGA DI PERMATANG PAUH DIBAIK PULIH

23/03/2025 09:16 PM

BUKIT MERTAJAM,  23 Mac (Bernama) -- Seorang wanita yang menjaga dua abangnya yang uzur dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menarik nafas lega apabila rumah mereka di Pekan Permatang Pauh, di sini yang usang sekali lagi mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Prihatin terhadap keadaan tiga beradik itu, Anwar menerusi Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong telah melawat rumah wanita berkenaan, Woon, 57, sebelum mengaturkan kerja-kerja membaik pulih.

Sim berkata rumah tersebut dibeli oleh mendiang ayah mereka 30 tahun lalu, namun pada tahun 1990-an, keluarga itu hampir kehilangan tempat berteduh akibat menjadi mangsa penipuan.

Mereka berusaha mendapatkan bantuan sehingga akhirnya mendiang kakak Woon berjaya menemui Anwar, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

“Menurut kakaknya, ketika dia berjumpa Anwar, pengawal peribadi tidak menghalangnya walaupun dia hanya rakyat biasa. Anwar terus bertanya, ‘Can I help you?’ sebelum menghulurkan bantuan. Kakaknya berpesan kepada keluarganya agar tidak melupakan jasa Anwar yang telah menyelamatkan rumah mereka,” kata Sim menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Sim, Woon kini, terpaksa bekerja keras mengumpul barangan kitar semula untuk menampung kehidupan, sementara menjaga abangnya Ah Kong, 59, yang terlantar sakit, serta Ah Keong, 62, seorang OKU mental.

“Saya dimaklumkan mengenai keadaan keluarga ini, dan apabila bertemu dengan Woon, dia mengeluh tiada siapa yang sudi membantu. Saya meyakinkannya agar tidak risau kerana Perdana Menteri sendiri meminta saya turun padang untuk membantu,” katanya sambil menambah bahawa ketika itu beliau tidak mengetahui kisah Anwar pernah membantu keluarga mereka 30 tahun lepas.

Menurut Sim, rumah usang tersebut merupakan satu-satunya harta pusaka keluarga, namun kayu bumbung dan dinding sudah reput, lantai pecah, dan dipenuhi barangan kitar semula.

Beliau berjanji untuk membaiki kediaman itu supaya tiga beradik tersebut dapat hidup lebih selesa. Dalam tempoh hanya sebulan, rumah itu berjaya dibaik pulih dan dibina semula.

Menurut Woon beliau sendiri tidak menyangka akhirnya, dapat tinggal dalam rumah yang lebih baik. Dia turut mengenang bagaimana Anwar pernah membantu keluarganya menyelamatkan rumah itu 30 tahun lepas, dan kini sebagai Perdana Menteri, beliau sekali lagi memberikan keprihatinan yang sama.

"Saya meyakinkan Woon agar tidak bimbang. Walaupun ini bukan kawasan saya, Perdana Menteri telah meminta saya untuk membantu. Saya juga akan bekerjasama dengan Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir  Muhammad Hamdi Mohd Noor, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada Woon. Inilah Malaysia MADANI," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan