MELAKA, 25 Mac (Bernama) -- Koperasi terlibat dalam sektor pelancongan tidak perlu bimbang untuk memberi diskaun harga hotel, inap desa atau produk pelancongan kepada pelanggan terutamanya menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Amran Abdul Kadir berkata hal ini kerana terdapat peruntukan khas yang membolehkan koperasi terlibat membuat tuntutan bagi promosi dan diskaun ditawarkan mereka.
"Peruntukan khas di bawah insentif Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) merupakan sokongan awal untuk menggerakkan penglibatan koperasi dalam sektor pelancongan.
"Bagi program promosi produk pelancongan ini, pengusaha hotel boleh menuntut hingga RM11,500 daripada SKM bagi tawaran diskaun diberikan," katanya.
Amran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan MADANI Koperasi (JMK) dan Mini Bazar Aidilfitri 2025 di Wisma Persekutuan Ayer Keroh di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Tuminah Kadi@Mohd Hasim.
Setakat ini, Amran berkata terdapat 12 hotel dan 72 inap desa koperasi di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Tuminah berkata program JMK akan diperluas ke lebih banyak jabatan dan penempatan berpenduduk padat di Melaka dengan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 10 koperasi.
"Impak program JMK amat positif dan kerana itu kita mahu perluas agar masyarakat khususnya golongan B40 dapat menjimatkan kos perbelanjaan rumah bukan sahaja pada musim perayaan, tetapi juga selepas itu.
"Secara tidak langsung ia membantu usahawan atau pengusaha di bawah koperasi terlibat untuk meluaskan pasaran produk mereka," katanya.
Penganjuran program JMK hari ini dikendalikan Koperasi Kakitangan Penjara Melaka Berhad melibatkan 10 produk makanan dijual dengan diskaun hingga 20 peratus manakala empat koperasi dan 26 usahawan menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan seperti kuih raya, pakaian serta minyak wangi menyertai jualan bazar mini Aidilfitri.
-- BERNAMA