SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan lima cedera selepas terlibat dalam kemalangan susulan tindakannya lari dari sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 7.3 Kilometer 4.1, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) pada 8 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya mengadakan SJR di Persiaran Sultan di Seksyen 14 di sini sekitar 9 malam, dan sebuah motosikal Modenas Kriss ditunggangi remaja itu membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak melalui sekatan.
“Anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) cuba menahan motosikal tersebut yang bertindak melawan arus dengan memintanya untuk berhenti, tetapi tidak diendahkan dan remaja itu mengelak dengan menyeberangi jalan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya.
“Penunggang motosikal itu kemudiannya telah dilanggar dan diseret oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melalui lebuh raya berkenaan sehingga menyebabkan remaja tersebut terjatuh dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata remaja terbabit yang mengalami kecederaan patah paha kiri, bahu kiri serta bahu kanan dan masih ditahan di wad Hospital Shah Alam sehingga kini.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati pelajar 17 tahun itu melarikan diri daripada pihak polis kerana tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan motosikal yang digunakan telah tamat tempoh.
“Kes ini di siasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 19 saat memaparkan kejadian individu menunggang motosikal secara berbahaya dan dikejar pihak polis.
-- BERNAMA