EKONOMI

RINGGIT DIBUKA TINGGI SUSULAN JANGKAAN IMPAK TERHAD DARIPADA TARIF AS

24/03/2025 10:10 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi hari ini berikutan jangkaan Malaysia akan menjadi antara negara yang paling kurang terjejas oleh pelaksanaan tarif timbal balas kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada 2 April berdasarkan negara dilihat mempunyai antara kadar tarif terendah.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4155/4230 berbanding dolar AS daripada 4.4180/4220 pada Jumaat lepas.  

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan tinggi pada sesi pagi ini berikutan peserta pasaran menunggu pelaksanaan tarif oleh kerajaan AS.

“Peserta pasaran akan meneliti butiran mengenai tarif timbal balas itu dan bagaimana ia akan memberi impak kepada ekonomi setiap negara.

“Terdapat kebimbangan bahawa tarif mungkin menyebabkan pertumbuhan perlahan, memerlukan respons dasar yang cepat daripada bank-bank pusat global sebagai langkah pertahanan pertama untuk mengekalkan pertumbuhan.

“Pemikiran sedemikian akan menjana sentimen defensif dalam kalangan peniaga dan pelabur, meningkatkan permintaan terhadap mata wang selamat (AS),” katanya kepada Bernama hari ini.

Merujuk data daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Afzanizam berkata negara-negara seperti India, Bangladesh dan Korea Selatan, masing-masing mempunyai purata kadar tarif sebanyak 17.1 peratus, 14.1 peratus dan 13.4 peratus berbanding Malaysia sebanyak 5.6 peratus.

“Sehubungan itu, Malaysia boleh menjadi antara negara yang paling kurang terjejas,” katanya.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.  

Mata wang tempatan naik berbanding pound kepada 5.7062/7158 daripada 5.7151/7203 pada Jumaat lepas. Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9500/9552 daripada 2.9574/9602 dan hampir mendatar berbanding euro kepada 4.7842/7923 daripada 4.7843/7886.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN. 

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3075/3134 daripada 3.3081/3114 sebelum ini, hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72 daripada 7.70/7.71, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 267.5/268.1 daripada 267.7/268.0 dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.0235/0545 daripada 13.0436/0608 sebelum ini.

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan