DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS

29/03/2025 10:41 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Jumaat, menjelang data indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) untuk Februari, yang dijangka dikeluarkan hari ini. 

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4330/4355 berbanding dolar AS daripada 4.4300/4340 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran mata wang bercampur-campur menjelang laporan inflasi PCE AS, dengan ringgit mencatatkan dagangan jajaran kecil.

“USDMYR bergerak dalam julat RM4.4268 hingga RM4.4340. Sementara itu, USDIDR naik kepada 16,558 rupiah setiap dolar AS kemungkinan disebabkan campur tangan Bank of Indonesia,” katanya kepada Bernama. 

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.   

Ia merosot berbanding euro kepada 4.7761/7788 daripada 4.7720/7763 semalam, rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9438/9456 daripada 2.9351/9380 dan susut berbanding pound kepada 5.7407/7440 daripada 5.7236/7287.  

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN. 

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3040/3061 daripada 3.3060/3094 sebelum ini, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0390/0533 daripada 13.0678/0854, bagaimanapun merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 267.7/267.9 daripada 267.4/267.8.

Bagaimanapun, ringgit mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.73.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan