SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Mayat seorang bayi yang baru dilahirkan ditemukan dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Md Yusof Ahmad berkata mayat itu ditemukan orang awam kira-kira 12 tengah hari, namun jantina dan bangsa bayi tersebut tidak dapat dipastikan.
"Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu meninggal dunia pada 11.15 pagi.
"Polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat, dipercayai menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi itu secara sulit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau meminta individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi pegawai penyiasat Insp Nor Aimi Liyana Mohd Khairani di 018-2510452 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Terdahulu tular di media sosial gambar lokasi kejadian dengan dakwaan ada individu melahirkan anak dalam tandas wanita stesen minyak itu sebelum membuang bayinya.
-- BERNAMA