EKONOMI

AKAUN SEMASA DIJANGKA KEKAL BERDAYA TAHAN, DISOKONG KEKUKUHAN EKSPORT PENGILANGAN - BNM

24/03/2025 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka akaun semasa negara kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana, disokong oleh kekukuhan Malaysia yang berterusan dalam eksport pengilangan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dijangka mendapat manfaat daripada pengembangan dalam kitaran teknologi global berikutan permintaan kukuh terhadap peranti dan aplikasi teknologi.

Pemulihan yang berterusan dalam permintaan perjalanan global turut dijangka meningkatkan lebihan dalam sektor pelancongan, disokong oleh dasar dalam negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Malaysia juga berada dalam kedudukan strategik untuk menarik pelaburan baharu syarikat yang ingin mempelbagaikan operasi dalam keadaan perubahan landskap perdagangan global dan kitaran pelaburan dalam negeri yang semakin berkembang dalam pelbagai sektor pengilangan dan perkhidmatan yang boleh meningkatkan eksport barangan dan perkhidmatan jangka sederhana.

“Namun begitu, masih wujud cabaran terhadap akaun semasa Malaysia, khususnya daripada ketidakpastian perdagangan global.

“Oleh itu, tumpuan keutamaan dasar kepada usaha meningkatkan eksport Malaysia serta merancakkan sektor pelancongan bagi memperkukuh lebihan akaun semasa,” katanya.

Bagi akaun perkhidmatan, katanya Malaysia perlu terus meningkatkan tawaran pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong daripada pelbagai segmen pasaran untuk kekal sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Pengembangan strategik industri pusat data di Malaysia boleh membantu memperkukuh keupayaan pengeluar tempatan dalam membangunkan peralatan seperti sistem penyejukan dan rak pelayan.

Tambahan pula, industri pusat data itu juga boleh mewujudkan rangkaian ekonomi yang lebih meluas dengan menyokong vendor perisian tempatan serta membangunkan perkhidmatan pengkomputeran awan tempatan untuk pasaran dalam negeri dan antarabangsa.

“Perkembangan ini membuka peluang Malaysia untuk meningkatkan eksport perkhidmatan digital sebagai sumber pendapatan baharu dan pada masa yang sama, mengurangkan kebergantungan terhadap import perkhidmatan digital,” katanya.

Menurut BNM, Malaysia telah mencatatkan lebihan akaun semasa secara konsisten sepanjang dua dekad lepas apabila lebihan ini disokong terutamanya oleh eksport barangan bersih yang berterusan, lantas mengimbangi defisit dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan.

Lebihan yang konsisten ini membezakan Malaysia daripada negara serantau dan negara lain yang mempunyai penarafan kredit setara, yang kebanyakannya mengalami defisit akaun semasa bersifat sementara atau berpanjangan dalam tempoh yang sama.

Menurut BNM, baki akaun semasa mencatatkan lebihan yang lebih tinggi sebanyak RM32.8 bilion atau 1.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 (2023: RM28.2 bilion /1.5 peratus daripada KDNK).

Ini disokong oleh lebihan berterusan akaun barangan serta defisit yang semakin berkurangan dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan sekunder manakala defisit yang lebih besar dicatatkan dalam akaun pendapatan primer.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan