AM

KELEMAHAN URUS TADBIR PUNCA NEGERI DIKUASAI PEMBANGKAN KURANG DAPAT SAMBUTAN PELABUR - KAMIL MUNIM

26/03/2025 09:53 AM

PADANG RENGAS, 26 Mac (Bernama) -- Kelemahan urus tadbir menjadi punca utama empat negeri yang dikuasai pembangkang atau ‘State-Goverment 4' (SG4) tidak menunjukkan perubahan signifikan dalam aspek pertumbuhan ekonomi dan pembangunan, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Justeru beliau berkata tiada sebab untuk mana-mana pihak menyalahkan kerajaan pusat berhubung isu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang perlahan di SG4 memandangkan pelbagai bantuan telah diberikan, sama ada dalam bentuk dana atau pembangunan infrastruktur.

“Dua hari lepas Kementerian Kewangan telah keluar kenyataan untuk salurkan bantuan khas Aidilfitri untuk penjawat awam di Terengganu. Beberapa minggu lepas, Menteri Besar Kelantan jumpa Perdana Menteri untuk bantu percepatkan projek tebatan banjir yang banyak mengundang masalah.

“Kemudian kalau nak diambil kira hal peruntukan, jumlah yang kita berikan kepada keempat-empat negeri ini juga meningkat. Jadi tak timbul isu kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang ini dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri di Arena Square Masjid Al-Hadhari di sini, semalam.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata meskipun pertumbuhan ekonomi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menunjukkan peningkatan setiap tahun, namun ia kurang mendapat sokongan dari kerajaan pusat termasuk hal-hal berkaitan kemasukan pelabur.

Sementara itu Muhammad Kamil berkata isu-isu berbangkit seperti masalah banjir juga seharusnya ditangani pentadbiran SG4 kerana ia menjadi salah satu faktor yang diambil kira mana-mana pelabur untuk membuat pelaburan di keempat-empat negeri berkenaan.

“Saya ambil contoh isu banjir, ia adalah masalah besar yang membabitkan semua golongan. Jadi, jika perkara itu tak dapat diselesaikan bermakna keyakinan untuk pelabur itu membuat pelaburan di negeri tersebut berkurangan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan