KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kerugian kewangan akibat risiko operasi yang dilaporkan oleh institusi kewangan kekal rendah pada separuh kedua 2024, merangkumi hanya 0.03 peratus daripada jumlah modal sistem perbankan berbanding 0.05 peratus pada separuh pertama 2024.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2024 (ST2 2024) yang dikeluarkan hari ini berkata institusi kewangan terus memantau gangguan operasi, terutamanya berikutan landskap ancaman siber yang semakin meningkat.
"Memelihara daya tahan operasi dan siber institusi kewangan terus menjadi antara bidang tumpuan utama bagi BNM," menurut bank pusat itu.
Sepanjang tempoh itu, beberapa insiden siber dilaporkan oleh industri, meskipun kebanyakannya melibatkan tahap keseriusan yang rendah.
"Jumlah serangan penafian perkhidmatan teragih (DDoS) mencatatkan sedikit peningkatan, seterusnya mengakibatkan ancaman yang berterusan kepada ketersediaan perkhidmatan dalam talian oleh institusi kewangan.
"(Bagaimanapun) institusi kewangan telah menyediakan pelan kesinambungan perniagaan (BCP) yang sewajarnya bagi memastikan kesiapsiagaan mereka untuk bertindak balas dan pulih daripada insiden siber serta meminimumkan gangguan operasi," menurut laporan itu.
BNM juga terus memantau landskap ancaman siber secara proaktif dan mempertingkatkan langkah penyeliaan untuk membanteras dan menangani ancaman yang semakin meningkat, termasuk mengemas kini keperluan dasar bagi menangani risiko baharu, serta menjalankan kajian bersasar untuk menilai keupayaan institusi kewangan bertindak balas terhadap insiden siber.
Sementara itu, BNM berkata perbelanjaan tahunan institusi kewangan dalam bidang teknologi maklumat (IT) telah meningkat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 22 peratus bagi tempoh tiga tahun yang lepas.
Paling ketara, perbelanjaan IT terus mewakili bahagian yang semakin besar daripada jumlah perbelanjaan tahunan keseluruhan (2024: 23.3 peratus daripada perbelanjaan tahunan; 2023: 19.1 peratus; 2022: 18.7 peratus) mencerminkan kepentingan strategiknya yang semakin meningkat bagi institusi kewangan.
"Peningkatan perbelanjaan IT tahunan ini didorong oleh usaha menaik taraf infrastruktur pusat data bagi memastikan daya tahan operasi pada waktu puncak serta berikutan inovasi produk secara pesat yang turut menambah kerumitan operasi infrastruktur IT institusi kewangan," katanya.
Selanjutnya, bagi menggerakkan pemantauan risiko operasi sistem kewangan secara lebih menyeluruh dan sistematik, BNM telah menambah baik pelaporan risiko operasi berpusat menerusi sistem Pelaporan Risiko Operasi (ORR) untuk mengumpulkan lebih banyak data berkaitan risiko operasi.
Sistem ORR menyokong pelaporan dan penilaian insiden risiko operasi kepada BNM serta memantau tindak balas insiden oleh institusi kewangan yang merangkumi pelaporan insiden berkaitan penipuan, amalan dan gangguan operasi dalam institusi kewangan.
Dengan peningkatan interaksi antara operasi perbankan yang sangat penting dengan ekosistem pembayaran, penyertaan entiti sistem pembayaran yang dikawal selia dalam sistem ORR baru-baru ini juga akan memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai dedahan dan daya tahan keseluruhan sektor kewangan terhadap risiko operasi.
Laporan itu turut memaklumkan bahawa Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dan sistem pembayaran runcit (RPS) utama terus mengekalkan tahap daya tahan operasi dan ketersediaan sistem yang tinggi sepanjang separuh kedua tahun 2024.
Selain itu, tiada insiden operasi atau siber yang signifikan berlaku dalam tempoh tersebut.
-- BERNAMA