AM

GURU KAFA, TAKMIR DI PERAK TERIMA BANTUAN KHAS KEWANGAN RM500

24/03/2025 04:45 PM

IPOH, 24 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta guru takmir di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bantuan itu akan dibayar bermula Jumaat ini.

Beliau berkata BKK itu membabitkan 3,495 penerima terdiri daripada 3,117 guru KAFA dan 378 guru takmir dengan melibatkan implikasi kewangan negeri mencecah RM1.75 juta.

"Diharapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban kewangan golongan berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri serta menyemarakkan lagi kegembiraan dalam menyambut lebaran yang bakal tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan pemberian BKK Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada 13,582 penjawat awam negeri termasuk guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ), ketua kampung serta kakitangan di bawah kontrak MySTEP.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan