AM

PEJAWAT AWAM SABAH TERIMA RM1,000 BANTUAN KHAS AIDILFITRI, PESTA KAAMATAN

26/03/2025 06:41 PM

KOTA KINABALU, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan Sabah hari ini meluluskan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM1,000 kepada semua penjawat awam di negeri berkenaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan tahun ini.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata bantuan khas itu melibatkan pembayaran RM500 sempena Hari Raya Aidilfitri dan RM500 lagi untuk Pesta Kaamatan.

“Keputusan ini dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah hari ini, dan pembayaran akan dibuat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mensejahterakan penjawat awam negeri, selain menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan penjawat awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan berharap bantuan khas itu akan menjadi suntikan semangat untuk terus berusaha lebih gigih dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cemerlang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan