AM

BANJIR JOHOR: FOMEMA SEDIA BANTUAN KEPADA MAJIKAN TERKESAN

24/03/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- FOMEMA Sdn Bhd (FOMEMA) menawarkan bantuan kepada majikan pekerja asing dan penyedia perkhidmatan yang terkesan akibat banjir baru-baru ini di Johor menerusi Program Bantuan Banjir FOMEMA (FRP).

FOMEMA dalam kenyataan memaklumkan menerusi FRP, pihaknya melanjutkan tempoh sah Laporan Pemeriksaan Perubatan FOMEMA selama 30 hari bagi pekerja asing yang borangnya tamat tempoh antara 22 Mac hingga 4 April 2025.

Tempoh lanjutan ini adalah layak kepada majikan yang berdaftar di klinik panel FOMEMA di kawasan terjejas banjir di Johor iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Mersing, Kota Tinggi, Muar dan Tangkak.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Dr Mohd Afiq Farhan Md Hanif berkata walaupun jumlah mangsa terjejas semakin menurun, proses pemulihan akan memakan masa. 

“Melalui program lanjutan ini, kami berharap dapat memberikan majikan dan penyedia perkhidmatan fleksibiliti yang sangat diperlukan ketika mereka berusaha untuk memulihkan perniagaan dan rutin harian mereka," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program itu, majikan boleh menghubungi Pasukan Perkhidmatan Pelanggan dan Wakil FOMEMA menerusi WhatsApp 603-2782 8777 atau e-mel cs@fomema.com.my pada Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 4 petang (waktu operasi Ramadan), kecuali cuti umum kebangsaan dan Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan