POLITIK

AMH RANGKA STRATEGI PASTIKAN DUN AYER KUNING TETAP MILIK BN - WOO

24/03/2025 07:18 PM

TAPAH, 24 Mac (Bernama) -- Angkatan Muda Harapan (AMH) sudah merangka strategi bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kekal milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu akan datang.

Ketua AMH Woo Kah Leong berkata sayap gabungan Pakatan Harapan (PH) itu juga, akan menggerakkan seluruh kekuatan untuk membantu BN mempertahankan kerusi berkenaan.

“Kita sudah ada kerangka atau strategi hasil daripada mesyuarat yang diatur sebelum ini antara kedua-dua jentera daripada PH dan BN, yang akan bekerja dalam satu pasukan untuk gerak kerja di Ayer Kuning. 

“Formula yang digunakan ialah perpaduan untuk semua dan bukan hanya bergerak secara berasingan, malah kami akan bergerak dalam satu naratif yang sama bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Penerangan AMH Ammar Atan dan Pengarah Pilihan Raya AMH PRK Ayer Kuning Khairol Najib Hashim, yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak. 

Sementara itu, Khairol Najib berkata pihaknya akan memantapkan kempen secara dalam talian bagi mendekati golongan sasar khususnya pengundi muda, memandangkan penyampaian maklumat melalui kaedah itu bersifat masa nyata, cepat dan mudah. 

Beliau berkata selain pengundi luar, pihaknya juga akan memberi fokus kempen untuk memastikan ahli dan penyokong parti gabungan itu, mengundi calon Kerajaan Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan