AM

PERMINTAAN ARANG KAYU MELONJAK TIGA KALI GANDA MENJELANG AIDILFITRI

26/03/2025 03:55 PM

BACHOK, 26 Mac (Bernama) -- Permintaan terhadap arang kayu meningkat tiga kali ganda menjelang Hari Raya Aidilfitri, didorong oleh keperluan tinggi daripada pembuat sate.

Pengusaha arang Pazuriatiayu Paudin, 49, berkata beliau dan suaminya Mohd Nazri Sohor, 51, tidak menang tangan memenuhi tempahan lebih 3,000 guni arang hancur sejak awal Ramadan bagi kegunaan peniaga sate di sekitar Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

“Kami membuat persiapan awal dengan mendapatkan bekalan kayu jenis rambutan, getah dan dokong dari pelbagai tempat, sama ada melalui pembelian atau pemberian rakan-rakan.

“Purata harga kayu yang dibeli ialah RM600 selori. Sejak awal Ramadan, arang kayu juga mendapat permintaan tinggi daripada pembuat kuih-muih serta peniaga ayam bakar, termasuk ayam madu dan ayam golek,” katanya kepada Bernama di Kampung Bukit Lipah di sini baru-baru ini.

Pazuriatiayu berkata arang kayu turut mendapat permintaan tinggi daripada peniaga ikan bakar dan ayam percik di Kuala Lumpur, yang datang sendiri untuk mendapatkan bekalan.

Beliau berkata arang kayu dijual pada harga RM40 bagi setiap guni, manakala dijual RM3 sebungkus dalam bungkusan plastik.

Perusahaan arang ini adalah legasi lebih 40 tahun yang diwarisi daripada bapanya Allahyarham Paudin Ismail dan beliau sendiri berkecimpung dalam bidang ini sejak 15 tahun lepas.

“Terdapat 12 gok (tempat pembakaran kayu) di sini, namun hanya lapan yang boleh digunakan kerana selebihnya telah rosak dan perlu dibina semula bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Proses pembakaran kayu mengambil masa sekitar dua minggu untuk gok kecil bersaiz 3.05 meter (m) dan tiga minggu bagi gok besar bersaiz 3.96m sebelum menjadi arang. Sepanjang tempoh itu, api perlu dikawal rapi untuk mengelakkan gok merekah atau api merebak ke luar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan