EKONOMI

BANK ISLAM TERBIT TRANCHE KETUJUH SUKUK MURABAHAH BERNILAI RM250 JUTA

24/03/2025 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menerbitkan tranche ketujuh Sukuk Murabahah Subordinat bernilai RM250 juta di bawah Program Sukuk Murabahah RM10 bilionnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya, Sukuk Murabahah dikategorikan sebagai modal kawal selia Aras Dua Bank Islam dalam mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal bagi Institusi Perbankan Islam (Komponen Modal) oleh Bank Negara Malaysia

Oleh itu, sukuk dengan tempoh 10 tahun itu akan meningkatkan kecukupan modal Bank Islam sejajar dengan keperluan Basel III.

“Sukuk Murabahah yang akan ditebus balik pada nilai nominal penuh selepas tempoh matang, dilengkapi dengan pilihan pembelian pada ulang tahun kelima terbitannya dan diberi penarafan ‘A1/stabil’ oleh RAM Rating Services Bhd.

“Bank Islam adalah penasihat utama, penyusun utama, pengurus utama dan penasihat syariah bagi Program Sukuk Murabahah ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan