DUNIA

YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT HADIR MAJLIS IFTAR ANJURAN PM KEMBOJA

24/03/2025 09:52 PM

PHNOM PENH, 24 Mac (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pada Isnin (24 Mac) menghadiri majlis berbuka puasa bersama komuniti Islam Kemboja yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Manet di Phnom Penh.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan majlis itu dihadiri kira-kira 6,200 tetamu jemputan dari seluruh Asia termasuk penuntut universiti Kemboja, masyarakat Islam negara itu, sahabat luar, perwakilan luar negara, imam dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam ucapannya, Johari menyanjung tinggi komitmen Perdana Menteri Kemboja dalam memupuk keharmonian agama dan etnik di negara tersebut.

"Prinsip toleransi yang diamalkan menjadi contoh kepada negara lain dalam mewujudkan keamanan dan kesejahteraan bersama," kata Johari.

Johari juga telah menzahirkan penghargaan terhadap dasar kerajaan Kemboja dalam menjaga kepentingan komuniti Muslim, khususnya dalam memperkukuh keharmonian antara agama.

"Keprihatinan ini dilihat sebagai satu contoh terbaik bagaimana masyarakat berbilang agama dan budaya boleh hidup bersama dalam suasana yang aman dan saling menghormati," katanya.

Sejak tahun 1957, hubungan dua hala Malaysia-Kemboja terus berkembang dalam bidang perdagangan, pendidikan dan budaya.

Kemboja merupakan rakan penting dan rapat kepada Malaysia dengan kerjasama erat di peringkat dua hala, serta diperkukuh di peringkat ASEAN dan antarabangsa. Kemboja juga merupakan antara destinasi pelaburan utama bagi syarikat Malaysia.

Sehingga Disember 2023, jumlah pelaburan kumulatif Malaysia di Kemboja berjumlah US$3.2 bilion (RM14.18 bilion).

Malaysia merupakan pelabur asing ketiga terbesar di Kemboja selepas China dan Korea Selatan, dengan pelaburan tertumpu dalam sektor pembinaan, telekomunikasi, perbankan dan hospitaliti.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan