AM

KESUMA GALAK SYARIKAT MEDIA BUAT CARUMAN WARTAWAN, JURUFOTO SAMBILAN

24/03/2025 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kementeriannya menggalakkan majikan dalam sektor media membuat caruman untuk petugas media sambilan atau stringer dalam usaha melindungi golongan itu yang terdedah kepada isu keselamatan.

Beliau berkata setakat tahun lepas, seramai 700 orang wartawan dan 500 jurugambar sambilan telah melakukan caruman dalam skim perlindungan sosial.

“Jadi kita minta supaya syarikat media kalau boleh taja (biayai) 30 peratus (caruman) sebab kerajaan dah taja 70 peratus daripada kos (caruman) itu.…dan dalam pada itu rancangan (draf) Rang Undang-Undang (RUU) pekerja Gig yang bakal dibentangkan nanti, dia (RUU) juga akan merangkumi pekerja dalam sektor media, jadi bila adanya RUU ini maka kita boleh menginstitusikan perlindungan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra Menteri Sumber Manusia bersama Media.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) Datuk Shahul Hamid Shaik Dawood dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Kerajaan sebelum ini menangguhkan pembentangan RUU Pekerja Gig bagi membolehkan lebih banyak sesi libat urus diadakan.

Steven berkata antara kebimbangan syarikat berkaitan RUU ini ialah kenaikan kos yang perlu ditanggung syarikat.

“Mereka kurang faham tentang ini… Perkeso yang akan membiayai kos platform aplikasi itu, jadi dia tidak timbul isu kos kepada syarikat,” katanya.

Dalam kenyataan bersama sebelum ini, syarikat penyedia perkhidmatan Gig menyatakan kebimbangan mereka terhadap beberapa aspek dalam RUU itu, yang mereka lihat berisiko mengekang inovasi dan persaingan, sekali gus meningkatkan kos perkhidmatan kepada pengguna.

Sementara itu, Steven berkata Kesuma akan memperkenalkan kategori baharu dalam Anugerah Hari Pekerja tahun ini iaitu kategori pengamal media individu sebagai tambahan kepada kategori syarikat media yang sedia ada.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan