KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Platform Malaysia@Heart atau MyHeart telah membuka peluang kepada diaspora Malaysia untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara secara aktif, sekali gus mengalihkan isu brain-drain kepada brain-circulation, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata platform itu menghubungkan rakyat Malaysia di luar negara dengan peluang ekonomi, sosial dan budaya di tanah air.
“Ini juga bagi mewujudkan ekosistem kolaborasi yang produktif dan berimpak tinggi dengan memanfaatkan jaringan sedia ada.
“Melalui inisiatif MyHeart, kerajaan dapat memanfaatkan kepakaran jaringan dan sumbangan diaspora secara optimum untuk pembangunan negara,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Tan Sri Prof Dr Mohamed Haniffa Abdullah mengenai tindakan diambil kementerian untuk membendung kehilangan bakat dan modal yang kritikal untuk pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.
Abdul Rahman berkata kementerian melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha menangani fenomena brain-drain serta memperkukuh pembangunan modal insan berkualiti untuk pertumbuhan ekonomi negara.
“Dari aspek insentif fiskal, Program Kepulangan Pakar (REP) menawarkan pelbagai insentif menarik kepada diaspora Malaysia yang berada di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air antaranya kadar cukai rata sebanyak 15 peratus ke atas pendapatan pekerjaan selama lima tahun.
“Selain itu, pengecualian cukai bagi barangan peribadi (kecuali kenderaan bermotor) serta pengecualian duti eksais hingga RM100,000 untuk kenderaan kereta pemasangan tempatan,” katanya.
Beliau berkata sejak pelaksanaan REP dari 2011 hingga 2024, TalentCorp telah menerima 11,402 permohonan daripada bakat profesional Malaysia yang menetap di luar negara dan daripada jumlah tersebut, 7,241 permohonan telah diluluskan dan 4,730 individu telah kembali berkhidmat di Malaysia.
-- BERNAMA