SUKAN

FAM, CARSOME METERAI KERJASAMA DUA TAHUN TINGKATKAN BOLA SEPAK NEGARA

25/03/2025 03:25 PM

JOHOR BAHRU, 25 Mac (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memeterai perjanjian selama dua tahun bernilai hampir RM2 juta dengan Carsome, sekali gus menjadikan platform e-dagang automotif tempatan itu sebagai Rakan Automotif Rasmi pasukan bola sepak kebangsaan.

Kerjasama itu menyerlahkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan landskap bola sepak negara terutama ketika pasukan lelaki dan wanita kebangsaan bersiap sedia menghadapi musim penuh cabaran.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Carsome akan menyokong FAM dalam meningkatkan kesediaan pasukan kebangsaan dengan menyediakan sumber penting dan sokongan logistik, termasuk 15 model kenderaan berkuasa tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memastikan perjalanan yang selesa dan lancar untuk pasukan, pengurusan dan kakitangan.

Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan bola sepak Malaysia.

“FAM dan Carsome berkongsi semangat yang sama untuk kecemerlangan, inovasi dan penglibatan komuniti, nilai-nilai penting yang bukan sahaja dalam bola sepak tetapi lebih daripada itu.

“Menerusi kerjasama ini, kami berhasrat untuk meningkatkan pengalaman bola sepak kepada pemain, peminat dan pihak berkepentingan dengan pelbagai inisiatif yang menggalakkan pembangunan, kebolehcapaian dan sokongan untuk ekosistem bola sepak tempatan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara FAM dan Carsome di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carsome Eric Cheng yang meminati bola sepak berkata sangat penting untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan.

“Di Carsome, kami percaya dalam menyokong aspirasi rakyat Malaysia sama ada dalam perniagaan, pendidikan atau sukan. Kerjasama ini bukan sahaja menyediakan pengangkutan, ia adalah usaha kami untuk memacu kejayaan dengan memastikan pasukan kebangsaan Malaysia mendapat sokongan dan infrastruktur yang diperlukan untuk cemerlang,” katanya.

Selain menyediakan kenderaan, bahagian pendidikan syarikat itu, Carsome Academy juga akan menawarkan diskaun eksklusif dan insentif rujukan kepada pemain pasukan kebangsaan dan ahli FAM untuk program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) automotif, kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal.

Terdahulu, perjanjian itu ditandatangani antara Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman dan Eric, disaksikan oleh Mohd Joehari serta Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Carsome Teoh Jiun Ee.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan