AM

REBAT RAHMAH PENGHARGAAN BUAT ANGGOTA PDRM

25/03/2025 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan Insentif Rebat RAHMAH secara sekali bayar sempena Hari Polis ke-218 hari ini sebagai penghargaan kepada pasukan Sang Saka Biru.

Menerusi insentif  itu, anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama sebulan sama ada pada April, Mei atau Jun, bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.

Anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara sekali bayar dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Bagi Lans Koperal Muhammad Al-Qadri, 26, insentif itu membantu meringankan beban kewangan anggota pasukan berkenaan terutama bagi menyambut Aidilfitri.

Katanya ketika ini beliau menggunakan perkhidmatan pascabayar dengan bayaran RM80 sebulan bergantung kepada jumlah penggunaan.

"Insentif ini bagi saya perkara yang positif, ia dapat membantu meringankan sedikit beban kewangan terutama ketika Hari Raya dan saya akan ada duit lebih sedikit untuk disedekahkan sebagai duit raya tahun ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Lans Koperal Haikal Rafiq Zahari, 25, pula berkata walaupun insentif itu hanya diberikan selama sebulan namun ia membuktikan pengorbanan pasukan polis sentiasa dihargai.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan yang telah memperkenalkan insentif ini. Ketika ini saya menggunakan pakej prabayar bagi telefon bimbit saya dan lebihan perbelanjaan hasil rebat ini akan saya gunakan sebaik mungkin terutama untuk membeli barang keperluan,” katanya.

Sementara itu, Sarjan Siti Rushnida Ahmad, 40, berkata insentif tersebut merupakan hadiah daripada kerajaan kepada anggota PDRM sempena hari istimewa polis.

"Insentif ini bagi saya amat bermakna buat kami anggota PDRM. Ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban semua anggota," katanya.

 Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pemberian Insentif Rebat RAHMAH dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi kepada anggota beruniform serta awam yang berkhidmat dengan PDRM yang akan memberi manfaat kepada lebih 127,000 orang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan