AM

PKPS GUNA KAEDAH FIFO PASTIKAN STOK MAKANAN DI GMS SENTIASA SEGAR

25/03/2025 10:39 PM

SHAH ALAM, 25 Mac (Bernama) --Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menggunakan dasar inventori First-In-First-Out (FIFO) dalam memastikan stok bekalan makanan sentiasa segar dan selamat yang disimpan di Gudang Makanan Selangor (GMS).

Sabtu lepas, kerajaan Selangor melancarkan GMS yang terletak di Gudang Tiong Nam Logistics, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata kaedah FIFO digunakan untuk memastikan produk yang masuk terlebih dahulu akan dikeluarkan lebih awal bagi mengelakkan pembaziran atau kerosakan stok makanan.

"Kami tidak akan membiarkan stok makanan lama tersimpan sehingga tamat tempoh. Melalui sistem FIFO, stok akan sentiasa diperbaharui dan dijual melalui program Jualan Ehsan Rahmah (JER),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis iftar PKPS bersama media di sini hari ini.

Beliau turut menepis kebimbangan bahawa stok beras yang disimpan terlalu lama boleh menyebabkan ia berbubuk atau rosak, berikutan mekanisme pemantauan ketat yang dilaksanakan.

"Produk seperti daging sejuk beku boleh bertahan sehingga dua tahun, tetapi dengan kerjasama syarikat Allana, produk ini akan melalui proses penggiliran yang pantas," jelasnya.

Selangor menjadi negeri pertama menyediakan gudang makanan yang dinamakan GMS, sebagai usaha memperkukuhkan sistem keselamatan bekalan karbohidrat serta protein, terutama ketika menghadapi situasi kecemasan luar jangka.

Mohamad Khairil berkata selain daging dan beras, PKPS turut merancang untuk menambah stok simpanan protein seperti ikan dan ayam dalam tempoh setengah tahun ini.

Bagaimanapun, katanya kaedah penyimpanan masih dalam kajian bagi memastikan kesegaran produk terjamin.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media yang sentiasa menyokong pelbagai inisiatif PKPS.

"Saya percaya dengan sokongan dan peranan media yang berterusan, segala usaha PKPS akan sampai ke pengetahuan rakyat dan meningkatkan kepercayaan mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan