KUANTAN, 31 Mac (Bernama) -- Seorang juruaudit syarikat mengalami kerugian RM1.29 juta akibat terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 43 tahun itu dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan berkenaan pada 16 Julai 2024.
Beliau berkata mangsa yang juga seorang subkontraktor kemudiannya melabur RM50,000 dalam pakej asas dan menerima pulangan modal serta keuntungan RM49,000.
“Dalam tempoh 16 Jan hingga 25 Mac lepas pula, mangsa membuat 26 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza berjumlah RM1.29 juta.
“Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki diperdaya selepas diminta membuat pembayaran tambahan, yang kononnya sebagai caj pengeluaran keuntungan dianggarkan bernilai lebih RM3.1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata mangsa yang melabur menggunakan wang simpanan, gadaian barang kemas dan pinjaman wang daripada rakan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam dan kes siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA