DUNIA

ASEAN, KOREA SELATAN PERKUKUH PERKONGSIAN DENGAN RANGKA KERJA LIMA TAHUN BAHARU

26/03/2025 02:49 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 26 Mac (Bernama) -- ASEAN dan Korea Selatan bersedia memperkukuh perkongsian mereka menerusi Pelan Tindakan (POA) baharu yang bertujuan memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) dalam tempoh lima tahun akan datang (2026-2030).

Pelan pengganti itu kini sedang dibangunkan dan dijangka dimuktamadkan untuk diterima pakai oleh menteri luar kedua-dua pihak pada Julai 2025, menurut Sekretariat ASEAN.

Komitmen untuk mengukuhkan CSP itu disahkan semula oleh para pegawai semasa Mesyuarat Ke-12 Jawatankuasa Kerjasama Bersama ASEAN-Korea Selatan yang diadakan di Ibu Pejabat ASEAN pada Selasa.

Perbincangan tertumpu kepada meningkatkan lagi kerjasama, dengan penekanan kepada bidang seperti perdagangan dan pelaburan melalui pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea Selatan; pendigitalan; keterhubungan; keselamatan siber; tenaga bersih; pembangunan mampan; pendidikan; pengurusan bencana; alam sekitar dan perubahan iklim; bandar pintar; serta pertukaran budaya dan hubungan sesama rakyat.

Pegawai juga mengambil maklum kemajuan ketara dalam pelbagai bidang kerjasama di bawah POA 2021-2025, termasuk hubungan politik dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, transformasi digital, pelancongan, tenaga, alam sekitar, pendidikan, kesihatan, budaya, belia dan pengurusan bencana.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama secara praktikal dalam empat bidang keutamaan Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), selaras dengan Kenyataan Bersama mengenai kerjasama AOIP yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-24 tahun lalu, menurut sekretariat itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan