AM

ORANG RAMAI BERBELANJA SAKAN DI JUALAN RAHMAH MADANI MEGA AIDILFITRI

29/03/2025 02:49 PM

KUANTAN, 29 Mac (Bernama) -- Ornag ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan menerusi Program Jualan Rahmah MADANI Mega Aidilfitri di Pantai Sepat di sini, yang menawarkan harga rendah berbanding pasaran.

Pesara kerajaan Radzali Abdul Rahman, 59, dan isterinya Umi Kalsum Ismail, 59, turut tidak terkecuali membeli pelbagai barangan pada program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu khususnya enam kilogram (kg) daging segar, empat ekor ayam dan 12 botol minuman berkarbonat.

“Barang lain pun kami beli antaranya sabun basuh. Saya rasa sangat berbaloi kerana harga ditawarkan memang murah.

“Kira-kira 8 pagi saya dan suami dah beratur kerana tidak mahu terlepas peluang mendapatkan daging yang dijual murah dengan pembelian tidak dihadkan dan selesai memborong semua barangan hampir 12 tengah hari,” kata suri rumah itu kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai sanggup beratur panjang meskipun cuaca panas terik bagi mendapatkan tawaran istimewa iaitu daging segar yang dijual RM26 sekilogram berbanding harga asal RM33.50 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri. 

Ayam segar pula dijual RM7 sekilogram, beras import lima kg (RM15) dan telur ayam gred B RM8 sepapan berbanding harga siling RM12.90. 

Program dua hari bermula semalam dari 9 pagi hingga 4 petang itu menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran tempatan melibatkan 80 barangan. 

Seorang lagi suri rumah, Rohani Kamaludin, 55, turut memanfaatkan program jualan berkenaan dengan membeli lapan ekor ayam, beras pulut, bihun dan minyak masak.

"Ramai orang datang kerana inisiatif ini dapat jimatkan belanja isi rumah selain tidak perlu ke bandar  bagi mendapatkan barangan untuk memasak juadah raya," kata ibu kepada tujuh anak itu.

Pekerja swasta Zulaikha Zainudin, 28, yang tinggal di Batu 3, di sini pula sanggup beratur panjang untuk mendapatkan daging segar.

“Saya beratur sejak 9.30 pagi tadi, sekarang dekat 12 tengah hari, harap dapat beli daging yang dipesan ibu. Keperluan lain seperti ayam sudah siap dibeli,” katanya yang menyifatkan program sedemikian dapat meringankan beban perbelanjaan keluarganya.

Bagi memeriahkan lagi program berkenaan, insentif dalam bentuk e-dompet bernilai RM20 turut diberikan kepada 1,000 pengunjung terawal pada hari ini dan semalam.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan