AM

DODOL TOK NAH KEKALKAN WARISAN 27 TAHUN GUNA KAYU API

26/03/2025 03:43 PM

Oleh Siti Azila Alias

TASEK GELUGOR, 26 Mac (Bernama) -- Ramai dalam kalangan pengusaha dodol hari ini telah beralih kepada kaedah moden menggunakan mesin kerana lebih cepat dan mudah, namun pengusaha Dodol Tok Nah, Zamri Sulaiman tetap memilih untuk mengekalkan pembuatan cara lama menggunakan kayu api.

Keunikan dan keaslian itu membuatkan jenama dodol yang telah diusahakan sejak 27 tahun lepas kekal menjadi pilihan pelanggan hingga kini.

Zamri, 52, berkata resipi asli dodol itu diwarisi daripada ibunya Aznah@Rabiah Hamid, 85, dan istimewanya dodol keluaran anak bongsu daripada lima beradik itu ialah 80 peratus daripada bahan mentah yang digunakan diproses sendiri dan bebas daripada bahan pengawet.

Katanya, bahan utama iaitu tepung pulut dibuat daripada beras pulut yang dikisar menggunakan mesin manakala santan pula dimesin dan diperah sendiri daripada buah kelapa yang pokoknya dipajak sekali gus dapat mengurangkan kos.

Zamri berkata langkah itu berupaya mengawal harga dodol yang dijual, lebih-lebih lagi ketika situasi kenaikan harga barangan di pasaran terutama santan yang kini dikatakan mencecah RM20 sekilogram.

Secara tidak langsung juga katanya, ia dapat memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan tambahan sepertimana yang sering ditekankan oleh ibu dan arwah bapanya Sulaiman Lebai Matt.

Selain menggunakan bahan yang diproses sendiri, Zamri berkata keunikan Dodol Tok Nah juga terletak pada teknik mengacau dan keupayaan mengawal api dengan betul sehingga akhirnya menghasilkan dodol yang sempurna bukan sahaja dari segi rasa, tetapi juga teksturnya.

"Hendak buat dodol asli memang rumit sebab kita mahu kekalkan rasa macam dulu-dulu. Rumit maksudnya proses pembuatan itu lambat kerana kita kacau secara manual menggunakan kudrat manusia sepenuhnya. 

"Sepanjang tempoh itu, kawalan api juga merupakan elemen paling penting bagi memastikan dodol yang dihasilkan lembut, tidak hangit dan berkerak.

"Kesimpulannya, setiap proses ada teknik dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti untuk mendapatkan rasa dan tekstur, ditambah dengan aroma asap di dalam dodol itu, sama macam orang dulu-dulu makan," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Jarak Tengah, di sini baru-baru ini.

Zamri yang tidak lokek berkongsi ilmu memberitahu selain tepung pulut dan santan, bahan lain digunakan untuk membuat dodol ialah gula merah dan gula putih, garam serta air kelapa yang merupakan bahan istimewa bagi menimbulkan rasa lemak berkrim dalam juadah tradisi berkenaan.

"Arwah ayah juga sering berpesan, buat (dodol) macam kita nak makan sendiri dan itulah yang menjadi pegangan saya hingga hari ini," katanya sambil memberitahu perusahaan itu diwarisi bersama abang keduanya Ahmad Tarmizi, 63, serta anak-anak saudaranya.

Mengulas lanjut, Zamri memaklumkan untuk Aidilfitri, setakat ini dia menerima tempahan sebanyak 4,500 kilogram (kg) dodol atau 150 kawah dengan setiap satu kawah mampu menghasilkan 30 kg dodol dan proses mengacau pula mengambil masa selama dua setengah jam untuk ia masak sepenuhnya.

Katanya, jenama Dodol Tok Nah mempunyai lebih 200 ejen di seluruh negara serta turut mendapat permintaan dalam kalangan pelanggan dari Singapura dan Brunei.

Sementara itu, Mohd Hafizi Shaari, 31, yang merupakan generasi ketiga berkata dia berminat untuk meneruskan legasi perusahaan Dodol Tok Nah kerana tidak mahu warisan penghasilan dodol secara tradisional itu lenyap begitu sahaja selain melihat potensi tinggi untuk dikembangkan.

"Ramai kawan saya pun ada terlibat dalam pembuatan dodol, tetapi mereka lebih kepada cara moden, yang pakai kayu api ini kurang. Justeru, saya rasa mungkin saya boleh sambung legasi Tok Nah sebab sayang kalau ditinggalkan nanti apabila semua sudah tidak ada, tiada lagi pewaris resipi asli ini.

"Sebelum ini, saya sering ikut bapa saudara (Zamri), dialah yang menurunkan ilmu kepada saya sampai saya sudah boleh masak (dodol) sendiri," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan