KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) akan memanfaatkan sepenuhnya peluang pertumbuhan yang wujud dengan kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, terutamanya dalam bidang kemampanan, kewangan peralihan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menerusi laporan tahunan 2024 bertemakan “Purpose Driven with Agility”, Maybank menjelaskan pihaknya juga menyasarkan peluang pertumbuhan dalam perdagangan dan kewangan Islam serta pengurusan kekayaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata kepengerusian ASEAN oleh Malaysia itu adalah satu lagi perkembangan positif dan akan menjadi pemangkin untuk kerjasama dan hubungan lebih erat antara individu, perniagaan dan kerajaan Malaysia serta negara anggota lain.
“Dengan kehadiran semua 10 negara anggota ASEAN, Maybank mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang pertumbuhan yang akan wujud,” katanya dalam laporan itu.
Mengulas mengenai pertumbuhan global pada 2025, beliau berkata pertumbuhan dijangka menjadi sederhana pada 2.9 peratus berikutan prospek ekonomi utama yang kurang memberangsangkan.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN pula dijangka kekal berdaya tahan pada 4.7 peratus (2024: 5.0 peratus) dengan meraih manfaat daripada keadaan monetari domestik yang longgar, peningkatan aliran masuk pelaburan langsung asing dan perbelanjaan pengguna yang meningkat semula pada separuh kedua tahun ini, katanya.
“Malaysia diunjurkan mengalami pertumbuhan KDNK sebanyak 4.9 peratus pada 2025, disokong oleh projek yang ditetapkan mengikut rangka kerja Ekonomi MADANI.
"Saya yakin dengan prospek industri perbankan, terutama dengan Belanjawan 2025 yang tertumpu kepada memacu kemajuan ekonomi yang positif serta, pembaharuan transformatif untuk kemakmuran rakyat yang berterusan,” katanya.
Khairussaleh berkata berlandaskan pelan hala tuju yang dirangka dengan jelas, semua inisiatif itu akan menarik pelaburan langsung asing yang ketara seterusnya akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berprestasi tinggi.
Beliau berkata Maybank kini dalam pecutan terakhir strategi M25+ dan berusaha untuk menamatkannya dengan prestasi cemerlang memandangkan pihaknya mula membangunkan pelan jangka masa sederhana seterusnya yang akan memastikan evolusi berterusan dan pertumbuhan mampan.
Bagi tahun yang dinilai, Maybank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM10.09 bilion dan pulangan ke atas ekuiti sebanyak 11.1 peratus.
Pertumbuhan pinjaman keseluruhan Maybank didorong oleh Malaysia, Singapura dan Indonesia, yang masing-masing berkembang sebanyak 8.2 peratus, 8.9 peratus dan 11.7 peratus.
“Pertumbuhan pinjaman untuk pasaran utama kami disokong oleh pertumbuhan yang baik merentas segmen pengguna, bukan runcit dan korporat kami, terutama dalam bidang pertumbuhan luar biasa iaitu bukan runcit dan pasaran pertengahan serta gadai janji, dengan gadai janji digunakan sebagai produk utama untuk melonjakkan keupayaan jualan silang kami,” katanya.
Sementara itu, jumlah deposit Maybank meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun apabila jumlah akaun semasa dan simpanan (CASA) meningkat 5.5 peratus didahului oleh Singapura (18.0 peratus), Indonesia (6.6 peratus) dan Malaysia (5.0 peratus).
Jumlah deposit tetap juga meningkat 5.8 peratus didahului oleh Singapura (18.9 peratus) dan Malaysia (15.3 peratus).
Nisbah CASA kumpulan kekal stabil pada 36.5 peratus berbanding 36.8 peratus tahun sebelumnya.
“Indikator mudah tunai kami seperti nisbah perlindungan mudah tunai dan nisbah pembiayaan stabil bersih masing-masing kekal positif pada 134.0 peratus dan 116.4 peratus,” katanya.
-- BERNAMA