Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 29 Mac (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto merakamkan ucapan takziah dan berikrar memberikan sokongan susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar dan Thailand.
Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar pada Jumaat, menyebabkan kerosakan infrastruktur yang ketara dan mendorong kerajaan tentera Myanmar mengisytiharkan darurat.
Gegaran turut dirasai di bandar berdekatan, termasuk Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City, mengakibatkan kemusnahan meluas serta mengorbankan lebih 140 orang, terutamanya di Myanmar.
Dalam kenyataan di akaun rasmi X beliau, Presiden Prabowo berkata: “Saya mengucapkan takziah yang mendalam atas gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar dan Thailand. Doa dan ingatan kami bersama rakyat kedua-dua negara pada masa yang sukar ini.”
Beliau menambah bahawa Indonesia "bersedia untuk menyediakan semua sokongan yang diperlukan untuk usaha pemulihan di kawasan yang terjejas."
Indonesia sebelum ini telah menghantar 15 anggota pasukan perubatan serta 50.5 tan bekalan, termasuk bahan perubatan, makanan dan logistik, bagi membantu Vanuatu susulan gempa bumi pada 17 Disember tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Luar Indonesia mengesahkan bahawa tiada warganegaranya yang terjejas dalam gempa bumi di Myanmar.
Kedutaan Indonesia di Yangon sedang memantau dengan rapat situasi dengan pihak berkuasa tempatan, manakala kira-kira 250 rakyat Indonesia di Myanmar, termasuk di Mandalay, melaporkan mereka selamat.
Di Thailand, di mana seramai 2,379 rakyat Indonesia menetap, kedutaan di Bangkok tidak menerima sebarang laporan mengenai warganegara yang terjejas akibat gempa bumi itu, menurut kenyataan kementerian.
Pihak berkuasa di Myanmar dan Thailand terus menilai tahap kemusnahan sepenuhnya, dengan bantuan antarabangsa mula tiba.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan