AM

KMJ SANTUNI BEKAS PENGAMAL MEDIA SAKIT, UZUR

26/03/2025 06:56 PM

JOHOR 26 Mac (Bernama) -- Kelab Media Johor (KMJ) meneruskan tradisi menziarahi dan menyantuni pengamal serta bekas pengamal media yang pernah berkhidmat di negeri itu bersempena kehadiran Ramadan tahun ini.

Antara yang diziarahi KMJ tahun ini ialah bekas jurukamera sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Hussin Hasaan, 65, di kediamannya di Taman Muhibbah, Kluang yang menghidap penyakit diabetis dan buah pinggang sejak tiga tahun lepas.

Hussin berkata dia kini tidak lagi mampu bekerja dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu selain harus berehat kerana tidak boleh melakukan kerja-kerja berat. 

“Buat masa ini, saya masih belum dapat bekerja dengan keadaan yang tidak sihat, bukan sahaja untuk bekerja malah ketika ingin pergi mendapatkan rawatan dialisis juga memerlukan bantuan.

“Saya juga mengalami masalah penglihatan dan menurut doktor, perlu menjalani pembedahan dengan anggaran kos RM4,000… saya berterima kasih kepada KMJ kerana masih mengingati saya,” katanya.

Bekas wartawan sambilan Bernama di Batu Pahat, Tukiran Kitam, 77, yang kini tinggal di Tangkak pula terharu dengan kehadiran ahli KMJ di kediamannya.

“Saya pernah bertugas di Bernama sekitar tahun 70-an sebelum berkhidmat di Utusan Malaysia hingga tahun 2006 dan mengambil keputusan bersara setelah keadaan kesihatan merosot (kerana menghidap penyakit darah tinggi),” katanya.

Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak merangkap Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia berkata program itu adalah sebahagian daripada aktiviti kebajikan kelab berkenaan dan ia bagi memastikan silaturahim antara kelab dan bekas ahlinya terus terjalin meskipun tidak lagi berada di lapangan. 

“Ada di antara rakan-rakan kita ini sakit, uzur dan tidak lagi bekerja ...dengan kehadiran dan sedikit sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian ini diharap dapat menggembirakan mereka apatah lagi menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Program ziarah yang bermula pada 8.30 pagi itu melibatkan beberapa daerah antaranya Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Tangkak serta Muar membabitkan lapan bekas pengamal media pelbagai agensi iaitu TV3, Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, Medkom dan Tamil Malar.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan