KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) – Ketika Myanmar berdepan dengan kesan dahsyat gempa bumi yang melanda, ASEAN tampil sebagai penyuluh harapan dengan tindakan segera bagi membantu mangsa bencana.
Gerak balas pantas blok serantau itu dalam menghulurkan bantuan kecemasan mencerminkan komitmen kukuh terhadap solidariti serantau, dengan matlamat untuk meringankan penderitaan dan membina semula kehidupan.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda tengah Myanmar pada Jumaat telah mengorbankan lebih 1,600 nyawa, mencederakan lebih 3,400 orang serta menyebabkan kemusnahan besar-besaran.
Sebagai tindak balas, usaha bantuan dan bantuan kemanusiaan dari negara jiran terus digerakkan, mencerminkan sokongan padu dan terselaras bagi membantu Myanmar menangani bencana ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Ahad susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar dan Thailand.
Mesyuarat yang diadakan secara sidang video dan dipengerusikan oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, mencerminkan perpaduan serta solidariti ASEAN dalam menghadapi bencana ini.
Bagi menunjukkan sokongan padu ASEAN kepada rakyat Myanmar serta menyelaraskan bantuan kemanusiaan, Mohamad dan rakan sejawatnya dari Thailand, Maris Sangiampongsa, akan mengadakan lawatan ke Myanmar pada 5 April.
Selain itu, Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) telah melancarkan operasi bantuan antarabangsa yang terselaras di Myanmar.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa Malaysia telah memperuntukkan bantuan kemanusiaan awal sebanyak RM10 juta bagi membantu rakyat Myanmar yang terkesan akibat gempa bumi.
Malaysia turut menghantar dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Naypyidaw, membawa 50 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bersama peralatan penting bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat.
Misi itu diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan sokongan Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Yangon.
Sementara itu, Singapura telah menghantar Kontinjen Operasi Lionheart (OLH) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bagi membantu usaha menyelamat di Myanmar.
Pasukan seramai 80 anggota yang diketuai Kolonel Tay Zhi Wei itu tiba di Naypyidaw pada kira-kira 7.30 malam (waktu Singapura) pada Sabtu susulan permintaan bantuan kemanusiaan selepas gempa bumi.
Sebagai antara pasukan penyelamat antarabangsa pertama yang tiba, pasukan OLH akan segera memulakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas pada Ahad.
Kerajaan Singapura turut menyalurkan bantuan kemanusiaan segera berjumlah S$150,000 (S$1 = RM3.30) kepada mangsa gempa bumi di Myanmar, selain sumbangan awal sebanyak S$150,000 oleh Palang Merah Singapura menerusi kempen kutipan dana awamnya.
Walaupun sedang menangani kesan gempa bumi di negaranya sendiri, termasuk operasi mencari dan menyelamat di tapak bangunan yang runtuh dalam pembinaan, Thailand telah menghantar pasukan penyelamat ke Myanmar bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat.
Menurut Kementerian Luar Thailand, Angkatan Tentera Diraja Thai akan menyelaraskan operasi kemanusiaan bersama angkatan tentera Malaysia dan Singapura bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan seramai 49 anggota tentera Thailand berlepas pada 7 pagi Ahad ke Mandalay, Naypyidaw dan Yangon.
“Misi mereka adalah untuk menyelaraskan usaha Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), termasuk operasi mencari dan menyelamat serta penghantaran bantuan kecemasan.
Misi ini akan dijalankan seiring dengan operasi menyelamat yang sedang berlangsung di Thailand. Kami bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Myanmar, selaras dengan tradisi kemanusiaan serta hubungan erat antara kedua-dua negara dan rakyatnya,” menurut kenyataan itu.
Ini merupakan usaha bantuan awal Thailand. Dalam fasa seterusnya, Kerajaan Thailand akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan penghantaran bekalan penting seperti makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan, bantuan kewangan dan keperluan lain kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi.
Pada masa sama, Indonesia turut mengerahkan pasukan khas mencari dan menyelamat bandar (USAR), Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) serta bantuan logistik bernilai US$1 juta bagi membantu kawasan yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda Myanmar dan Thailand.
Pakej bantuan itu merangkumi ubat-ubatan, bekalan makanan, tempat perlindungan sementara serta penapis air bersih.
Pasukan tindak balas sedang diselaraskan bagi memenuhi keperluan dan keutamaan kawasan terjejas.
Menteri Luar Indonesia, Sugiono, berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Indonesia (INASAR) dijadual berlepas ke Myanmar pada 1 April, manakala EMT dan bantuan logistik akan dihantar daripada Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur pada 3 April.
Sebagai tambahan kepada bantuan kecemasan, Vietnam akan menghantar satu pasukan dianggotai 79 anggota tentera ke Myanmar bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat serta usaha pemulihan pasca bencana.
Menurut Agensi Berita Vietnam, Tentera Rakyat Vietnam (VPA) telah menyediakan pelan penghantaran yang melibatkan anggota khusus, termasuk pegawai pemerintah, pakar komunikasi, pakar mencari dan menyelamat, pengendali anjing penyelamat serta anggota perubatan profesional .
Timbalan Ketua Staf Am, Leftenan Jeneral Kanan Huynh Chien Thang berkata penyertaan Vietnam mencerminkan komitmennya terhadap usaha kemanusiaan antarabangsa dan mencerminkan tanggungjawab serta keupayaan Tentera Rakyat Vietnam dalam kerjasama global.
Kemboja turut berjanji untuk menyalurkan bantuan. Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn, pada Ahad mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan US$100,000 sebagai bantuan kecemasan awal kepada Myanmar.
Selain itu, Kemboja juga akan menyumbang kepada usaha bantuan serantau dengan menyediakan bekalan perubatan serta keperluan penting lain, menurut kenyataan kementerian itu.
-- BERNAMA