SHAH ALAM, 26 Mac (Bernama) -- Polis sedang menyiasat insiden seorang pekerja wanita sebuah kedai menjual minuman dan ais krim yang didakwa menjadi mangsa ugutan dan maki hamun oleh seorang pelanggan di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 8.42 malam semalam, yang mendakwa kejadian itu berlaku semasa urusan transaksi pembayaran.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa didatangi seorang lelaki tempatan bersama keluarganya untuk membeli ais krim dan minuman strawberi berharga RM6.50 sebelum membayar menggunakan wang tunai RM10.
"Telah berlaku perselisihan faham ketika mangsa meminta duit syiling 50 sen daripada suspek kerana tidak mempunyai baki wang syiling yang cukup di dalam mesin daftar tunai dan suspek dipercayai turut menyindir mangsa.
"Kejadian bertambah rumit apabila mangsa menutup mesin daftar tunai dengan kuat, menyebabkan suspek berasa tidak berpuas hati lalu memarahi mangsa dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Iqbal berkata kejadian tersebut telah dileraikan oleh rakan setugas mangsa dan suspek kemudiannya dipercayai terus beredar setelah urusan pembelian selesai.
Beliau berkata hasil siasatan lanjut polis mendapati mangsa telah menghantar video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu kepada ahli keluarganya sehingga menyebabkan ada individu tidak bertanggungjawab menularkan rakaman tersebut di laman sosial TikTok.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan diikuti Seksyen 509 kanun yang sama kerana mengaibkan kehormatan masing-masing.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (buli siber) yang memperuntukkan denda maksimum RM100 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan penjara setahun atau denda sehingga RM50,000 jika didapati bersalah," katanya.
Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden itu supaya membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Siti Mahanira Mahat, di talian 017-64444895.
Terdahulu, tular menerusi aplikasi TikTok rakaman video berserta kapsyen yang mendakwa seorang jurujual wanita diugut dan dimaki oleh pelanggannya, termasuk dengan kenyataan berbaur perkauman, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dalam transaksi jual beli.
-- BERNAMA