AM

PENGLIBATAN PIHAK BERKEPENTINGAN PENTING DEMI KEJAYAAN TMM2026 - TIONG

26/03/2025 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Penglibatan pihak berkepentingan utama dalam sektor pelancongan, diplomat dan pemain industri adalah penting ketika negara bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata ini sejajar dengan visi Kerajaan MADANI dalam memastikan TMM2026 bukan sahaja menarik lebih ramai pelancong tetapi juga memupuk pertumbuhan pelancongan dua hala yang mampan.

"Malam Iftar Ramadan yang istimewa ini adalah satu perhimpunan yang bukan sahaja bertujuan meraikan semangat Ramadan tetapi juga bagi memperkukuh kerjasama dan memperluas rangkaian kita terutama dalam memupuk hubungan dua hala yang lebih mendalam.

"Menerusi kerjasama serta sikap saling menghormati, kita mampu mengukuhkan lagi perniagaan dan pada masa sama, meningkatkan industri pelancongan," katanya ketika katanya ketika berucap pada Malam Iftar Ramadan MOTAC di sini malam ini.

Beliau berkata majlis itu menyediakan platform yang berharga untuk perbincangan terbuka, menjalinkan hubungan perniagaan dan usaha sama bagi merancakkan lagi industri pelancongan Malaysia.

Turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Dr Yasmin Mahmood dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy.

Menerusi ucapannya, Tiong juga menegaskan kepentingan memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat serta menggesa semua orang agar menghormati antara satu sama lain.

“Hanya dengan cara itu kita mampu mencapai kestabilan negara dan keamanan di seluruh dunia… kepelbagaian ini menjadikan Malaysia unik dan kita bangga mempamerkan perkara ini kepada dunia melalui industri pelancongan kita… Kekayaan warisan, budaya dan tradisi Malaysia selain percutian demi kesejahteraan kesihatan menawarkan pengalaman unik yang memenuhi peningkatan permintaan global.

“Memandangkan kita secara aktif mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, saya menggesa para duta, pemimpin industri dan rakan kongsi perniagaan untuk menjalinkan kerjasama dalam mengetengahkan tawaran pelancongan negara,” katanya.

Beliau berkata dengan perkongsian sektor awam-swasta dan kerjasama rentas sempadan yang utuh, kita mampu mengangkat Malaysia sebagai destinasi utama sekali gus memastikan kemampanan jangka panjang serta pengiktirafan global.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan