AM

PROGRAM MEKAR UBAH KEHIDUPAN AMIN CHAM, KELUARGA ORANG ASLI SUKU BATEK

31/03/2025 10:18 AM

JERANTUT, 31 Mac (Bernama) -- Rutin kehidupan Amin Cham, seorang remaja lelaki Orang Asli suku Batek dan ahli keluarganya berubah selepas lima bulan memiliki dokumen pengenalan diri yang mengesahkannya sebagai warganegara Malaysia.

Amin, 15, tinggal di Kampung Orang Asli  Keniam, Taman Negara, Kuala Tahan yang hanya boleh diakses melalui jalan sungai dan udara, kini berhak menikmati pelbagai keistimewaan termasuk berpeluang mencari sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

“Kehidupan kami sekeluarga sebelum ada sijil kelahiran dan kad pengenalan memang jauh berbeza. Ayah dapat kad pengenalan agak lambat. Sebelum ada dokumen itu, ayah jual madu kepada orang tengah. Tidak menguntungkan sebab terpaksa bayar pada orang tengah kerana hendak ke bandar Jerantut tidak cukup duit. 

“Mahal perbelanjaan ke bandar kerana kos bot, sewa kenderaan, orang tengah bayar tak banyak selain tidak ada kad pengenalan, takut jugalah. Namun, apabila ayah ada kad pengenalan sejak beberapa tahun lepas, dia sudah berani jual madu di bandar, keuntungan jualan membolehkannya berulang-alik setiap minggu ke sana,” katanya kepada Bernama. 

Tidak sekadar menyejahterakan pendapatan, anak kedua daripada enam beradik itu berkata dia dan adik-beradiknya yang sebelum ini tidak dapat bersekolah kini berpeluang mendapat hak itu selain menikmati rawatan kesihatan percuma.

“Saya juga ada bantu ayah, masa hujung minggu kerja sebagai pembantu bot di jeti Kuala Tahan. Dulu masa tidak ada kad pengenalan, orang tidak berani ambil kami bekerja. Sebelum ini, hendak merasa pegang RM50 atau RM100 memang susahlah.

“Kehidupan pun sukar apabila hasil hutan tidak dapat dijual dan bergantung jualan madu pada orang tengah. Memang jauh bezalah kehidupan kami sekarang. Jika hendak keluar ke bandar memang kena ada duit yang banyak,” katanya. 

Tidak dinafikan, untuk sampai ke perkampungan Orang Asli suku Batek itu sangat mencabar kerana perlu menggunakan bot dari jeti Kuala Tahan, menyusuri sungai Tembeling selama kira-kira dua jam selain terpaksa meredah hutan dan menempuh tujuh jeram.

Perkampungan yang terletak dalam Taman Negara itu dihuni 40 buah keluarga dengan 200 penduduk dan mereka memerlukan kos lebih RM1,000 untuk pengangkutan bot, kereta sewa dan penginapan di hotel jika mahu ke bandar paling terdekat iaitu di Jerantut bagi proses pendaftaran dokumen pengenalan diri. 

“Situasi itu menyebabkan masih ada penduduk berusia lebih 30 tahun tidak memiliki sijil kelahiran mahupun kad pengenalan kerana kesukaran akses, sekali gus menyukarkan mereka menikmati kehidupan lebih baik sebagai rakyat Malaysia.

 “Sebagai suku Batek, memang budaya kami sentiasa berpindah-randah dalam hutan dan dengan pendapatan tidak seberapa, kami tidak mampu ke bandar Jerantut buat kad pengenalan. Sebab itu, sini memang ramai yang mengalami nasib daftar lewat kelahiran,” kata Tok Batin Kampung Orang Asli Keniam Jusuh Pisang.

Beliau berkata dengan adanya Kaunter Hutan Belantara di bawah Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), penduduk Orang Asli di sini tidak perlu lagi ke bandar untuk mendapatkan dokumen itu.

Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias berkata program MEKAR banyak membantu menyelesaikan masalah berkenaan kerana pihaknya komited untuk memastikan komuniti Orang Asli tidak tercicir daripada menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan dalam mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah. 

Keberkesanan program itu dapat dilihat apabila pihaknya menerima 140,144 permohonan dokumen pengenalan diri dari tahun 2020 sehingga Januari lepas, menerusi pelaksanaan MEKAR yang dibahagikan kepada kategori MEKAR Ihsan, MEKAR Komuniti, MEKAR Identiti, MEKAR Pahlawan dan MEKAR Diaspora. 

Badrul Hisham berkata daripada jumlah itu, 2,327 adalah permohonan masyarakat Orang Asli di Pahang yang berjaya diselesaikan, dan situasi itu menunjukkan bahawa kesedaran komuniti pedalaman untuk memiliki dokumen sah itu semakin meningkat. 

Beliau berkata MEKAR adalah inisiatif yang membantu komuniti seperti itu memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan dengan membawa perkhidmatan pendaftaran terus ke penempatan mereka, sekali gus mengurangkan beban masyarakat peribumi kerana kos untuk ke pejabat JPN sangat tinggi. 

“Lokasi Kampung Keniam antara yang dipilih kerana terdapat kira-kira 50 penduduk kampung yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri disebabkan lokasinya yang terletak jauh di pedalaman iaitu dalam hutan Taman Negara, Kuala Tahan.

“Mereka tidak ada akses jalan darat yang mudah untuk pergi ke JPN Jerantut. Sebab itu, ramai ibu bapa di sini sukar mendaftarkan kelahiran anak dalam tempoh ditetapkan iaitu 60 hari selain terdapat individu mencapai usia 12 tahun tetapi belum memiliki MyKad walaupun mempunyai sijil kelahiran,” katanya.

Beliau berkata mempunyai penduduk peribumi paling banyak di Malaysia, Pahang merekodkan 92,135 Orang Asli daripada jumlah keseluruhannya komuniti itu di negara ini iaitu 215,215 orang berdasarkan data daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang. 

“Statistik JAKOA pada 2023 menunjukkan 684 penduduk komuniti berkenaan yang tiada dokumen pengenalan diri di Pahang dengan 228 daripadanya dikenal pasti adalah dari daerah Jerantut, namun dengan adanya program MEKAR masalah itu berjaya diatasi. 

“Selain Jerantut, komuniti Orang Asli tinggal jauh di pedalaman Pahang terutamanya di daerah seperti Lipis, Rompin dan Cameron Highlands dan pergerakan mereka adalah terhad disebabkan masalah logistik. Ini yang kami usahakan biarpun berhadapan pelbagai cabaran,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan