EKONOMI

ALLIANZ LIFE PERKASA USAHA KESAKSAMAAN GENDER MENERUSI #SHESECURES

27/03/2025 11:24 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Allianz Life Insurance Malaysia Bhd (Allianz Life) kini memperkukuh komitmennya dalam pemerkasaan dan mengangkat golongan wanita dengan memperluas jangkauannya di Malaysia menerusi program eksklusif #SheSecures.

Ketua Pegawai Jualannya Raymond Cheah berkata #SheSecures merangkumi program transformatif yang direka khusus bagi meningkatkan keupayaan ejen insurans wanita melalui pembangunan kemahiran komprehensif, latihan kepimpinan serta rangkaian sokongan yang kukuh.

“Kami menerima sambutan baik di Malaysia dengan lebih daripada 100 individu mewakili pelbagai latar belakang menghadiri sesi pertama dan teruja untuk merebut peluang kerjaya.

“Program ini menawarkan fleksibiliti bagi wanita dalam membina kerjaya bermanfaat sambil mengimbangi tanggungjawab keluarga berikutan kami menawarkan waktu kerja yang anjal," katanya kepada Bernama. 

Cheah juga menekankan bahawa #SheSecures menawarkan peluang berharga untuk wanita yang terpaksa mengambil langkah berundur daripada kerjaya ketika pandemik COVID-19 demi menumpukan keluarga manakala jadual kerja anjal pula bertepatan untuk mereka yang mahu mengimbangi aspirasi profesional dan peribadi.

“Kami menawarkan peluang kedua untuk wanita membina semula kerjaya selepas berkorban menjaga anak-anak dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Sekarang adalah masanya untuk membantu mereka kembali ke bidang pekerjaan dan Allianz Life komited sepenuhnya untuk menyokong peralihan ini dengan sokongan kewangan bagi memulakan perjalanan keusahawanan mereka," katanya.

Menjelaskan selanjutnya, Cheah berkata #SheSecures dilancarkan di Malaysia bersempena Hari Wanita Antarabangsa pada 5 Mac untuk memperkasakan ejen wanita dengan menggalakkan aspek kesaksamaan gender dan memupuk persekitaran kerja inklusif dalam industri insurans.

Program itu pada awalnya telah dilancarkan oleh Allianz Asia Pacific (AZAP) pada Julai 2024 dengan penyertaan 35 orang masing-masing dari Indonesia, Thailand dan Malaysia yang mewakili wanita daripada kalangan yang berjaya mencatat pencapaian besar serta pemimpin yang menghadiri acara #SheSecures pertama di Singapura.

Dalam AZAP misalnya, sebanyak 54 peratus daripada penglibatan dalam agensi adalah wanita manakala baki 46 peratus merangkumi golongan lelaki.

China muncul sebagai negara pendahulu dengan peratusan ejen wanita tertinggi iaitu 71 peratus manakala Malaysia, Thailand dan Taiwan masing-masing lebih 50 peratus diwakili wanita.

Cheah berkata Allianz Life misalnya menyasarkan untuk meningkatkan pengambilan ejen baharu menerusi pelbagai inisiatif menumpukan wanita di bawah #SheSecures.

"Di Allianz Life, kami mempunyai lebih ramai ejen wanita berbanding lelaki dengan nisbahnya pada 60:40.

“Perbezaan itu lebih ketara dalam kalangan ‘produser’ utama atau profesional (yang terbabit dalam jualan produk insurans) kami iaitu 80 peratus adalah wanita dan hanya 20 peratus lelaki," katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah syarikat insurans, Allianz Life juga memperakui tanggungjawab sosialnya untuk menyediakan keterjaminan pekerjaan untuk wanita dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran bersesuaian, latihan berterusan, peluang pembangunan dan laluan kerjaya tersusun atau berstruktur bagi kejayaan jangka panjang mereka.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan