KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen lima peratus dan bonus 0.25 peratus bagi tahun 2024 -- tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Jumlah agihan itu melibatkan RM514.20 juta, meningkat berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada 2023, menjadikannya jumlah agihan dividen tertinggi LTAT dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata agihan ini memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Selain itu, ia juga menggambarkan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar lima peratus mencerminkan pemulihan yang kukuh, prestasi mampan dan kestabilan dana,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 di sini hari ini.
Dividen bagi tahun kewangan 2024 akan dikreditkan ke akaun pencarum pada 28 Mac 2025 dan pencarum boleh menyemak penyata melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau laman web rasmi LTAT.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata LTAT terus memperkukuh kedudukan kewangannya dengan peningkatan tahun ke tahun secara konsisten dalam semua petunjuk prestasi utama.
Katanya bagi tahun kewangan 2024, LTAT telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM753 juta, meningkat 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini didorong oleh usaha kepelbagaian aset serta pulangan lebih tinggi daripada aset strategik, mencerminkan pengurusan portfolio yang disiplin dan komitmen terhadap pertumbuhan yang mampan.
“Keuntungan bersih juga terus meningkat positif, dengan lonjakan sebanyak 23.7 peratus kepada RM588 juta bagi tahun kewangan 2024 berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan pengurusan kos yang berhemat,” katanya.
Sejak 2022, keuntungan bersih LTAT berkembang secara konsisten melebihi RM400 juta setiap tahun, sekali gus mengukuhkan lagi pendapatan yang terkumpul.
Dalam pada itu, rizab terkumpul LTAT mencatatkan peningkatan sebanyak 160.0 peratus tahun ke tahun, mencapai RM1.01 bilion bagi tempoh yang ditinjau.
“Prestasi kewangan tahunan ini menjadi bukti kekuatan ekonomi domestik Malaysia apabila pelaburan LTAT sebanyak 100 peratus berasaskan pasaran tempatan.
“Ia juga mencerminkan keberkesanan dasar kerajaan yang kukuh, baik dari segi kawal selia mahupun pembangunan yang telah mewujudkan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang stabil,” katanya.
LTAT turut mengumumkan pemilihan lima kem tentera di bawah inisiatif “Kem Santuni MADANI” dengan kerjasama syarikat kumpulan LTAT bagi menangani cabaran yang dihadapi kem-kem ini termasuk penambahbaikan infrastruktur, inisiatif pemerkasaan kewangan dan program sokongan komuniti lain.
-- BERNAMA