AM

KPDN ANJUR LEBIH 200 PJRM DALAM TEMPOH TIGA BULAN

27/03/2025 02:00 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menganjurkan 211 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bermula pada 1 Jan hingga 22 Mac lepas.

Pengarah KPDN Terengganu Mufsi Lat berkata ia melibatkan 90 siri PJRM di dalam premis, PJRM bergerak (120 siri) dan PJRM @ Pasar (satu siri) di kesemua lapan Parlimen.

Beliau berkata sebanyak 200,693 rakyat telah mendapat manfaat daripada program berkenaan yang bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup rakyat yang berpendapatan rendah.

"Sebanyak RM8 juta jualan juga telah direkodkan bagi 211 penganjuran PJRM yang melibatkan tiga model pelaksanaan.

"Untuk penganjuran PJRM di dalam premis, kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM30,000 untuk satu penganjuran manakala PJRM bergerak, subsidi RM20,000 diperuntukkan," katanya ketika ditemui pada PJRM anjuran Persatuan Kebajikan dan Sukan Wisma Persekutuan Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mufsi berkata KPDN juga memberi jaminan bekalan bahan api petrol dan diesel di 164 stesen minyak di seluruh negeri mencukupi untuk menerima kemasukan puluhan ribu kenderaan menjelang Aidilfitri ini.

Beliau berkata kesemua stesen minyak akan beroperasi seperti biasa bagi kemudahan rakyat tempatan dan perantau.

"Bahan api tidak ada masalah … mencukupi untuk menyambut kepulangan perantau. Operasi stesen minyak juga berjalan seperti biasa … disesuaikan mengikut lokasi dan tempat masing-masing," katanya.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan sebelum ini menganggarkan 70,000 hingga 80,000 kemasukan kenderaan ke Terengganu bermula pada 28 hingga 30 Mac.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan