AM

KERINDUAN SYAWAL TERPENDAM DI PUSPEN BACHOK, HANYA LAGU PENGUBAT RINDU

27/03/2025 02:19 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

BACHOK, 27 Mac (Bernama) -- Setiap kali Syawal menjelang, umat Islam di seluruh dunia menyambutnya dengan penuh kegembiraan, berkumpul bersama keluarga, ketawa bersulam kasih sayang, sambil menikmati hidangan istimewa seperti rendang, lemang dan ketupat, diiringi alunan lagu-lagu raya yang mengusik jiwa.

Namun, tidak semua dapat merasai kemanisan detik ini. Bagi mereka yang terkurung di balik tirai besi, Aidilfitri adalah bayangan kenangan yang semakin pudar. Tiada pelukan mesra ibu bapa, tiada usikan riang anak-anak, hanya rindu yang menggamit hati, mencengkam jiwa.

Di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, 166 wanita sedang menjalani pemulihan, di sebalik dinding sunyi itu, lagu-lagu raya menjadi pengubat rindu kepada keluarga yang jauh di mata namun dekat di hati.

Bagi Siti (bukan nama sebenar), 43, bait lirik Cahaya Aidilfitri nyanyian Black Dog Bone, “Bila tiba hari raya, semua insan bergembira, tetapi bagiku hanya kesedihan, yang menyelubungi hidup,” meruntun hatinya setiap kali dimainkan.

“Saya hilang tempat bergantung selepas ibu dan ayah pergi buat selama-lamanya. Setiap Syawal, saya akan menziarahi pusara mereka, mengalirkan air mata di sisi batu nisan. Tetapi tahun ini, saya hanya mampu memanjat doa dari jauh,” katanya kepada Bernama sambil menyeka air mata baru-baru ini.

Siti, yang terjerumus dalam kancah penagihan methamphetamine sejak lebih sedekad lalu, kini menjalani hukuman pemulihan selama 18 bulan.

Kesedaran hadir lewat tetapi tekadnya kuat untuk berubah.

“Saya benar-benar insaf. Dadah tak pernah beri kebahagiaan, hanya menghancurkan hidup. Saya mahu pulang ke pangkuan masyarakat dan memperbaiki segala-galanya,” luahnya penuh kesungguhan.

Bagi Mariam (bukan nama sebenar), 40, pula, Syawal kali ini adalah yang kedua disambut tanpa kehangatan keluarga. Setiap kali mendengar lagu Air Mata Syawal nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, hatinya luluh mengenangkan dosa silam.

“Saya masih teringat wajah ibu ketika air matanya jatuh saat saya dijatuhi hukuman. Saya anak derhaka... Saya abaikan tanggungjawab sebagai anak. Kesal itu tak pernah hilang,” katanya dengan suara bergetar.

Sebagai ibu tunggal kepada tiga anak yang berada di utara tanah air, Mariam hanya mampu menyimpan rindu di hati. Kenangan Syawal bersama anak-anak, berpakaian sedondon, bersalaman dan bermaafan, menjadi memori yang terus-menerus menghantui.

“Tahun ini, saya hanya mampu membayangkan wajah mereka. Tapi saya berjanji, bila bebas nanti, saya akan tebus semua kesilapan. Saya akan pastikan mereka bangga ada ibu seperti saya,” katanya yang bakal menamatkan hukuman dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Di sebalik kesedihan yang menyelubungi, setiap penghuni Puspen membawa harapan baharu — harapan untuk kembali ke pangkuan keluarga, menebus dosa semalam dan mencipta masa depan yang lebih cerah.

Bagi mereka, Aidilfitri kali ini bukan sekadar perayaan tetapi satu peringatan, meskipun masa lalu tidak dapat diubah, masa depan masih terbentang untuk dibentuk dengan keazaman dan usaha.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan