Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 31 Mac (Bernama) -- Penduduk Kampung Mohd Noor, Batu 5, di sini meneruskan tradisi yang dilakukan sejak turun-temurun dengan berkongsi juadah yang dimasak setiap rumah untuk dijamu kepada jemaah masjid selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Pengerusi Masjid Jamek Kampung Mohd Noor, Mohd Fauzi Mohamad Sedek berkata amalan itu antara cara penduduk kampung berkenaan menyambut kemeriahan hari raya yang telah dilaksanakan lebih 50 tahun.
Katanya, ia juga antara kaedah untuk mereka beramah mesra antara satu sama lain selain turut disertai aktiviti bermaaf-maafan termasuk kepada anak-anak yang merantau serta bekerja di luar dan balik pada lebaran.
“Memandangkan kampung ini hanya melaksanakan aktiviti baraan (mengunjungi rumah ke rumah) setelah seminggu raya, inilah cara kami untuk meraikan kehadiran 1 Syawal setiap tahun sebelum masing-masing beraya bersama keluarga.
“Kemeriahannya hadir apabila kami dapat berkongsi juadah berbeza oleh setiap rumah ... jika bulan puasa ada aktiviti munjung (menghantar makanan kepada jiran beberapa hari sebelum Aidilfitri), hari ini kami teruskan pada raya,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Kata Mohd Fauzi, pelbagai juadah dapat dinikmati yang sinonim dengan kehadiran Aidilfitri antaranya ketupat, rendang, lemang, nasi himpit, serondeng, malah ada juga yang membawa kuih raya untuk dimakan.
Katanya, tradisi ini dapat diteruskan hingga hari ini kerana mendapat sambutan dan galakan yang baik daripada ketua kampung dan juga penduduknya yang terdiri daripada lebih 100 keluarga.
“Jika dikira kehadiran ke masjid ini untuk solat sunat raya penduduk termasuk anak-anak yang bekerja di luar dan balik untuk meraikan lebaran adalah sekitar 300 orang,” katanya.
Mohd Fauzi berkata selagi tradisi ini mendapat sambutan dan masih dilihat sebagai satu platform untuk mengeratkan hubungan antara satu sama yang lain, ia tetap diteruskan, lebih-lebih lagi golongan muda akan mewarisinya.
Terdahulu, selepas menunaikan solat, penduduk kampung berkenaan mengadakan tahlil ringkas serta membaca doa selamat sebelum menikmati juadah yang dimasak dan dibawa dari rumah masing-masing.
-- BERNAMA