KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Perkhidmatan Rapid KL On-Demand akan diperluas dengan penambahan 320 van menjelang Jun ini, dengan kos RM55 juta.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penambahan itu, bertujuan bagi menangani isu perjalanan perbatuan pertama dan terakhir, selain menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Beliau berkata dengan penambahan itu, perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang kini beroperasi di 37 zon dengan 110 van di bawah Rapid KL dan Rapid Penang, turut akan diperluas kepada 101 zon di seluruh negara.
“Setakat ini, lebih 4,000 penumpang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari...dengan penambahan sehingga 320 van, kami menyasarkan peningkatan kepada 36,000 pengguna sehari. Terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan perubahan tinggi, di pangsapuri, di rumah pangsa, jadi hentian akan berada berdekatan kepada kawasan perumahan ini dan dalam masa panjang kami berharap ia akan menjadi suatu kebiasaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah.
Loke berkata menerusi perkhidmatan itu, pengguna boleh menempah perjalanan melalui aplikasi mudah alih dengan kadar promosi RM1 bagi setiap perjalanan, manakala tambang percuma kepada pemegang pas perjalanan bulanan My50, buat masa ini.
Turut dilengkapi dengan sistem kerusi orang kurang upaya (OKU), perkhidmatan Rapid KL On-Demand kini menggunakan sistem pembayaran terbuka yang membolehkan pengguna membuat pembayaran menggunakan kad debit dan kad kredit.
Beliau berkata perkhidmatan Rapid KL On-Demand beroperasi dalam radius lima kilometer bagi memastikan pengguna dapat tiba di stesen tren Aliran Transit Ringan (LRT) atau transit aliran massa (MRT) dalam tempoh 10 minit.
“Masalah terbesar untuk sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur ialah perjalanan perbatuan pertama dan terakhir. Ini kali pertama yang kerajaan serius menangani isu ini,” katanya.
Loke berkata sebelum ini, ramai pengguna lebih bergantung kepada perkhidmatan e-panggilan yang menelan belanja antara RM5 hingga RM7 bagi setiap perjalanan, berbanding menggunakan perkhidmatan Rapid KL On-Demand dengan hanya perlu membayar RM1 bagi setiap perjalanan.
-- BERNAMA