BERITA TERGEMPAR | Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | |
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) telah membuat pindaan klausa mengenai kehamilan dalam kontrak atlet wanita iaitu atlet hamil kini boleh menyertai program latihan, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Namun katanya segala aktiviti perlu bergantung kepada keupayaan atlet berkenaan.
"Sebelum ini dalam kontrak, atlet mengandung latihan akan dihentikan, tetapi sekarang ini dalam kontrak kita telah membuat pindaan dan menggugurkan klausa bahawa atlet disahkan hamil tidak boleh mengikut latihan. Tetapi perlu ikut keupayaan atlet tersebut.
"Contoh atlet mengandung mungkin adalah atlet memanah dan latihan berbanding dengan atlet biasa berbeza. Oleh itu MSN akan menilai setiap kes untuk menjadikan klausa ini lebih mesra wanita," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Taska Team MAS di Institut Sukan Negara (ISN) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hannah berkata kontrak atlet wanita juga ditambah baik dengan memasukkan kelayakan cuti tahunan sebanyak tujuh hari, cuti kecemasan (tujuh hari) selain memberi cuti materniti tujuh hari bagi atlet lelaki.
Katanya langkah itu bagi memastikan sistem sokongan sukan negara lebih mesra kepada atlet wanita selain memudahkan mereka menjalani karier sebagai atlet negara meskipun sudah berkeluarga.
Terdahulu, Hannah merasmikan Taska Team MAS yang merupakan inisiatif memperkukuh sokongan kebajikan kepada atlet, jurulatih dan warga agensi sukan di KL Sports City.
Taska Team MAS bukan sekadar pusat penjagaan kanak-kanak tetapi juga simbol komitmen KBS dalam membantu golongan atlet dan kakitangan sukan menyeimbangkan tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga, katanya.
-- BERNAMA